Berita Hari Ini

Najib Yakin Kapten Izham Mampu Pulihkan Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin Kapten Izham Ismail yang dinamakan sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Malaysia Airlines Bhd (MAB) akan meneruskan usaha memulihkan syarikat penerbangan itu.

Beliau berkata, MAB ialah sebuah organisasi yang lebih daripada sekadar syarikat penerbangan kerana ia membawa nama, imej dan jenama negara di angkasa dan seluruh pelusuk dunia.

“Selamat maju jaya buat Kapten Izham Ismail, saya yakin beliau akan teruskan usaha pulihkan MAS agar kembali berdaya saing, kukuh dan menguntungkan.

“MAB lebih daripada sekadar syarikat penerbangan, ia bawa nama, imej & jenama #Negaraku di angkasa raya dan ke seluruh pelusuk dunia. Kebanggaan kita,” kata Najib menerusi catatan di laman rasmi Twitter beliau, malam tadi, lapor Bernama.

Dalam satu kenyataan semalam, MAB berkata Izham, yang pada masa ini adalah Ketua Pegawai Operasi (COO), akan menyandang jawatan GCEO pada 1 Disember 2017, selepas ketiadaan Peter Bellew, yang kini sedang dalam cuti pentadbiran.

Sementara itu, menurut portal MalaysiaKini, Peter Bellew melahirkan keyakinannya terhadap Kapten Izham Ismail yang dilantik sebagai GCEO dan pengarah eksekutif syarikat itu.

Bellew, dalam catatan di laman Instagram beliau berkata Izham akan menjadi pemimpin unggul bagi Malaysia Airlines.

Beliau menyifatkan Izham sebagai seorang profesional penerbangan, pakar teknikal, juruterbang cemerlang dan paling penting seorang lelaki yang hebat.

“Beliau akan menjadi pemimpin hebat dalam syarikat penerbangan istimewa ini. Saya berbangga dengan anda Izham. Saya doakan anda berjaya.

“Saya harap anda akan sentiasa menghubungi saya,” catatnya dalam laman sosial tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");