Jenayah

Nelayan Vietnam Makin Berani Ceroboh Perairan Negara

KUALA TERENGGANU – Pengawalan sistem penangkapan ikan yang lemah sehingga menyebabkan kepupusan benih-benih ikan daripada terus membiak di negara mereka menjadi antara penyebab nelayan Vietnam semakin berani menceroboh perairan negara.

Terbaru, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berjaya menahan dua bot yang dioperasikan nelayan Vietnam yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding, Khamis lalu dalam Operasi Perkasa Timur Siri 132/2017 dan Operasi Marikh Siri 132/2017.

Pengarah Maritim DM 9 Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli berkata, sebelum ini, Maritim DM 9 telah membuat lima tangkapan membabitkan nelayan Vietnam sejak Ogos lalu.

“Sekiranya tiada penguatkuasaan yang dilakukan di perairan negara, sudah tentu suatu hari nanti negara ini juga akan menghadapi masalah yang sama.

“Ia memandangkan nelayan asing dari Vietnam ini menggunakan kaedah secara tunda ganding yang dikhuatiri bukan sahaja menjejaskan pendapatan nelayan tempatan, tetapi dipercayai boleh menjadi punca kerosakan terumbu karang kerana jauh memasuki kawasan yang tidak dibenarkan untuk laut dalam.

“Kita turut menerima laporan daripada nelayan tempatan bahawa nelayan asing ini turut menceroboh perairan negara sehampir enam batu nautika dari pantai, meskipun mereka ini kebanyakannya nelayan laut dalam yang menggunakan pukat yang tidak dibenarkan dalam negara ini.

“Kawasan ‘permainan’ mereka ini bermula enam batu sehingga hampir 40 batu nautika dari pantai,” katanya.

Sementara itu, Rahim berkata, dalam tangkapan terbaharu pada Khamis lalu, pihak Maritim berjaya menahan 15 nelayan Vietnam berusia antara 21 hingga 40 tahun.

Turut dirampas, hasil tangkapan yang dianggarkan 1.5 tan ikan baja, dua tan ikan campur dan kira-kira 27,000 liter minyak diesel, dengan nilai anggaran keseluruhan rampasan RM2.4 juta, termasuk bot dan peralatan menangkap ikan.

Katanya, semasa operasi berkenaan, kapal Maritim menghampiri dua bot tersebut, namun awak-awaknya telah memotong tali pukat, kemudian kedua-dua bot tersebut berpecah dan melarikan diri.

“Bagaimanapun, tangkapan pertama berjaya dilakukan pada kedudukan kira-kira 45 batu nautika dari muka kuala, Kuala Terengganu pada jam 11.50 pagi dan diikuti tangkapan kedua pada kedudukan 37 batu nautika dari muka kuala, Kuala Terengganu pada jam 12.44 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati, 10 awak-awak warganegara Vietnam termasuk tekong berada di dalam bot tersebut manakala pemeriksaan ke atas bot kedua pula mendapati lima awak-awak yang juga warganegara Vietnam termasuk tekong berada di dalam bot tersebut,” katanya lapor Sinar Harian.

Hasil pemeriksaan lanjut, bot tersebut disyaki bot nelayan asing yang menyamar dengan menggunakan dokumen dan lesen bot tempatan serta tidak mempunyai sebarang lesen dan permit sah untuk menangkap ikan di perairan negara.

Katanya, bot dan awak-awak dibawa dan ditahan di jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Kanun Keseksaan Akta 574.

Jika disabitkan kesalahan, tekong boleh didenda tidak kurang RM1 juta dan awak-awak bot itu boleh di penjara tidak lebih enam bulan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");