Sukan Hari Ini

Not My Negara Hanya Gurauan – TMJ

KUALA LUMPUR: Kata-kata ‘Pasukan negara anda semua, not my negara (bukan negara saya). I’m from Johor, you know (Saya berasal dari Johor, anda tahu)’ seperti yang diluahkan Tengku Mahkota Johor (TMJ) yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hanyalah bersifat gurauan.

Baginda bertitah, ayat berkenaan tidak membawa sebarang maksud dalam erti kata sebenar dan ramai yang terlepas pandang isu-isu penting lain yang diketengahkan.

“Satu jam lebih punya dialog saya bercakap mengenai bola sepak dan isu-isu semasa, tetapi ayat gurauan yang terakhir saya selama 20 saat itulah yang menjadi tumpuan sekarang.

“Inilah salah satu sebab mengapa saya dah tak baca surat khabar dalam negara ni kerana sikap terdesak ingin menjual surat khabar dan menulis berita seperti di majalah gosip,” titah baginda melalui laman Facebook Johor Southern Tigers sebentar tadi, lapor MyNewsHub.

Pada Rabu lalu, Tunku Ismail mengadakan wawancara yang dinamakan ‘Seseorang yang bertanggungjawab atas segala-galanya?’ yang disiarkan secara langsung di laman Johor Southern Tigers.

Wawancara  itu dipercayai diadakan bagi menjawab kritikan banyak pihak atas kekalahan skuad negara pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong beberapa hari lalu.

Malaysia tewas 0-2 di tangan tuan rumah, dengan kapten pasukan Safiq Rahim dibuang padang seawal minit ke-39.

Setakat ini skuad negara belum mencatatkan kemenangan selepas tiga aksi kumpulan B pusingan kelayakan Piala Asia 2019.

Akhbar Kosmo hari ini melalui ruangan Sukan melaporkan bahawa para peminat bolasepak tanah air terguris hati dengan kenyataan sinis berkenaan.

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali dilaporkan akhbar itu berkata, titah Tunku Ismail itu mengguris hati peminat sukan tempatan kerana baginda dipilih menjadi Presiden FAM kerana diyakini mengetahui formula untuk memperkasakan bola sepak tanah air.

Beliau menganggap titah Tunku Ismail itu di luar jangkaan penyokong-penyokong bola sepak negara, ditambah dengan kenyataan baginda bahawa jawatan sebagai Presiden FAM merupakan kerja sambilan sahaja.

Mengulas lebih lanjut mengenai laporan itu, Tunku Ismail mencadangkan agar akhbar Kosmo dan Utusan Malaysia ditutup jika hanya ingin melaga-lagakan orang dan menulis berita seperti gosip murahan.

“Berjuta-juta duit setiap bulan diberikan kepada Kosmo yang terletak di bawah Utusan tetapi kerja hanya ingin melaga-lagakan orang sahaja dan tulis berita macam gosip murahan.

“Nasihat saya kepada kerajaan, lebih baik anda tutup sahajalah syarikat surat khabar tersebut daripada membazir duit rakyat,” titah baginda.

Baginda kecewa kerana usaha memberikan penjelasan kepada peminat dilakukan dengan pelbagai cara namun mesejnya gagal difahami.

“Semua benda nak percuma, tidak berusaha tetapi tidak boleh melihat kesenangan orang lain. Apabila menulis panjang, malas membaca. Ada pulak yang tak faham.

“Apabila sudah keluar video ‘live’ pun masih tak faham?,” titah baginda.

Bagi tujuan itu, baginda juga mencadangkan kepada kerajaan bertindak cepat untuk meningkatkan sistem pelajaran kerana ada tiga perkara harus diberi perhatian dalam negara ini iaitu kurang pendidikan, rasuah dan ‘extremism‘.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");