Perak Hari Ini

Omar Mammah Timbalan Ketua Polis Perak Baharu

IPOH: Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Omar Mammah hari ini dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak, menggantikan Datuk Zainuddin Yaacob.

Zainuddin bakal memulakan tugasnya sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur pada 23 Oktober ini.

Omar menerima watikah perlantikan daripada Zainuddin dalam Majlis Serah-Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini.

Turut hadir, Ketua Polis Perak,  Datuk Hasnan Hassan serta ketua-ketua polis daerah seluruh negeri.

Omar,58, dalam sidang media selepas penyempurnaan majlis berkenaan itu berkata beliau telah berkhidmat kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) selama 28 tahun.

 

Deputi Komisioner Datuk Omar Mammah

“Tugas pertama saya selepas tamat latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, adalah sebagai Pegawai Penyiasat di Balai Polis Dang Wangi,” katanya.

Tambahnya, semasa bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Sabah beliau turut terlibat secara langsung dalam siasatan Ops Daulat yang mana melibatkan kes pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina di Lahad Datu pada 2013.

Selain itu, beliau yang berasal dari Semporna, Sabah  itu juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor selama hampir enam tahun dan banyak terlibat dengan pengendalian kes-kes jenayah seperti samun, pecah rumah dan kongsi gelap.

Beliau juga berkata, tanggungjawab yang digalas ini akan dipikul sebaik mungkin khususnya dalam membantu Ketua Polis Perak bagi memastikan urustadbir dan operasi kepolisan kontinjen Perak berjalan dengan sempurna.

“Saya ingin memastikan tahap moral, integriti dan juga disiplin semua pegawai anggota dan pegawai awam dalam semua bahagian PDRM berada pada tahap yang tinggi.

“Di samping itu, saya ingin memastikan bahawa harapan pucuk pimpinan PDRM dalam meletakkan keyakinan yang tinggi oleh masyarakat kepada kita dapat dicapai,” katanya.

Omar dan Zainuddin merupakan antara 42 Pegawai PDRM seluruh negara yang ditukar dan dinaikkan pangkat oleh Bukit Aman, seperti dilaporkan media tempatan pada 10 Oktober lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");