Berita Hari Ini

Pantau ‘Jerung Baucer Buku’ Elak Ketirisan

KUALA LUMPUR – Ada dua pihak perlukan diberikan pemantauan bagi memastikan ketirisan tidak berulang dalam pemberian Bantuan Baucar Buku bernilai RM250 kepada 1.2 juta pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) dan tingkatan enam seperti yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2018, Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembaharuan Dasar Buku Negara, Budiman Mohd. Zaidi berkata, dua pihak yang perlu diberi pemantauan khusus oleh pelaksana pemberian Baucar Buku pada 2018 adalah “jerung baucar” dan pelajar yang menerima baucar itu.

Ia kerana, kata beliau, realiti sejak pemberian baucar itu bermula pada tahun 2012, Baucar Buku tidak diimbal secara total kepada industri buku kerana berlaku ketirisan yang membolehkan pelajar membeli barangan lain bukan buku atau ditukar menjadi tunai RM250.

“Malah perkara ini lebih teruk apabila pelaksanaan Kad Debit-i Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M Debit-i) pada 2017 di mana pelajar boleh mengeluarkan tunai RM250 terus daripada mesin ATM, tanpa perlu membeli buku.

“Menurut statistik daripada penerbit buku, pembelian buku melalui KADS1M tidak sampai 10 peratus. Malah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 pada April lalu merupakan jualan terendah pernah dicatatkan oleh semua penerbit buku tempatan dalam 10 tahun mutakhir ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, Budiman mencadangkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang akan menguruskan pemberian Baucar Buku itu berkolaborasi rapat dengan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) untuk mengenal pasti senarai penerbit yang layak menerima Baucar Buku daripada pelajar untuk mengelakkan ketirisan itu.

Beliau yakin kerjasama antara antara KPT, MABOPA, IPT, sekolah dan pelajar dalam perkara khusus bagi pelaksanaan Baucar Buku akan mendatangkan manfaat yang besar.

“Setiap buku yang dibeli, ia memanfaatkan penerbit dan penulis; setiap buku yang dibaca, ia mengintelektualkan pelajar; setiap buku yang difahami, ia memandaikan akal budi bangsa Malaysia,” katanya.

Terdahulu, beliau menyifatkan antara pihak yang paling gembira dengan Bajet 2018 adalah penggerak industri buku tanah air disebabkan pengumuman Baucer Buku tersebut.

Kata beliau, tambah menggembirakan apabila bahan bacaan meliputi majalah, komik, jurnal dan terbitan berkala akan diberikan layan GST berkadar sifar bermula 1 Januari 2018.

“Kedua-dua perkara yang khusus berkaitan bahan bacaan sebagaimana diperuntukkan dalam Bajet 2018 ini merupakan rahmat terbesar dalam industri penerbitan di Malaysia.

“Namun moga pihak Kerajaan dapat turut mempertimbangkan penerbitan buku digital (e-buku) diklasifikasikan dalam GST sifar,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");