Jenayah

Pasukan Petugas Pantau Siasatan Dakwaan Terhadap Dzulkifli – Apandi

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara menubuhkan pasukan petugas Isnin lalu bagi memantau siasatan mengenai dakwaan salah laku terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan hari ini, berkata pihaknya menerima pertanyaan daripada orang awam dan wartawan berkaitan dengan laporan yang dibuat terhadap Dzulkifli.

“Memandangkan keseriusan tuduhan yang boleh menjejaskan integriti Ketua Pesuruhjaya SPRM, Jabatan Peguam Negara menubuhkan pasukan petugas 16 Oktober lalu (Isnin) bagi memantau dengan dekat siasatan kesalahan yang dikatakan di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan kesalahan berkaitan lain.

“Justeru, Jabatan Peguam Negara ingin mengingatkan semua pihak untuk tidak membuat apa-apa komen yang boleh menjejaskan siasatan yang masih berterusan.

“Sejajar dengan amalan terbaik dasar pendakwaan kami, Jabatan Peguam Negara juga akan memastikan siasatan tidak akan menghalang pemberi maklumat atau saksi yang berwibawa daripada datang ke hadapan untuk membantu siasatan supaya kebenaran terbukti,” katanya, menurut laporan BH Online.

Mohamed Apandi berkata, Jabatan Peguam Negara memberi jaminan kepada orang ramai bahawa Peguam Negara dalam kapasitinya sebagai Pendakwa Raya seperti diperuntukkan di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan akan menjalankan budi bicaranya mengenai perkara ini, seperti dalam semua perkara lain dengan bijak dan dalam mengikut undang-undang, sama ada undang-undang prosedural atau substantif.

“Jabatan Peguam Negara teguh dalam menegakkan keadilan dan Peraturan Undang-undang,” katanya.

Selasa lalu, Dzulkifli menegaskan, beliau tidak akan tunduk terhadap serangan berbentuk peribadi, sebaliknya tetap bertekad untuk terus memerangi rasuah.

Penegasan itu ekoran dakwaan beliau terbabit dalam hubungan sulit dengan isteri orang.

“Kami tidak akan tunduk kepada tekanan. Kami akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab kami untuk memastikan negara ini bebas daripada pihak yang terbabit dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Tuduhan yang dilemparkan ini adalah tindakan yang kotor dan keji, dengan niat untuk merosakkan reputasi saya dan usaha SPRM dalam memerangi rasuah,” katanya ketika diwawancara TV3.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini mengesahkan, belum menerima sebarang laporan SPRM berhubung dakwaan berkenaan.

Mohamad Fuzi bagaimanapun berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan bagi menyiasat perkara itu berdasarkan laporan polis yang diterima daripada pihak lain.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");