KUALA LUMPUR: Himpunan Anti-Kleptokrasi anjuran pakatan pembangkang minggu lalu bukan hanya gagal menghimpunkan 100,000 rakyat, sebaliknya bertukar menjadi medan pembangkang meluahkan amarah dan emosi.
Himpunan itu juga gagal digunakan untuk meyakinkan rakyat kononnya mereka adalah barisan alternatif terhadap kepemimpinan sedia ada, sebaliknya lebih mencerminkan tahap mentaliti dan kewibawaan yang rendah.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, turut menempelak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang melabel bangsa Bugis sebagai lanun manakala Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, didakwa turut biadap apabila menghina pemimpin negara.
Annuar berkata, tindakan sedemikian tidak menggambarkan kedudukan kedua-dua pemimpin pembangkang itu sebagai negarawan dan ketua negeri.
“Mereka cuma kumpulan melayan perasaan marah dan emosi. Ini bahaya kalau diberi kuasa pemerintahan,” katanya pada Majlis Assyura Anak Kelantan di Perantauan anjuran Permuafakatan Ramah Mesra Parlimen Ketereh (PERAPAT) dan Orang Parlimen Ketereh (OPT) di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis memasak 30 kawah bubur Assyura yang dihadiri kira-kira 2,000 anak Kelantan di perantauan itu ialah Presiden PERAPAT, Datuk Zainal Abidin Che Ismail.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, turut meluangkan masa memasak bubur Assyura yang kemudiannya diedar secara percuma kepada pengunjung majlis, bertujuan merapatkan ukhuwah antara anak jati Kelantan.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, Dr Mahathir tidak sepatutnya menggunakan perkataan jelik menghina bangsa Bugis sebagai lanun kerana itu gelaran yang asalnya diberi penjajah kepada etnik terbabit.
“Guan Eng pula tidak sepatutnya menggunakan perkataan seperti ‘gila’ kerana beliau adalah ketua negeri yang sepatutnya lebih berwibawa dan memberikan contoh baik kepada rakyat,” katanya.