Jenayah

Pembunuhan Kim Chol: Kes Kedua Dunia Guna VX

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu bahawa insiden kematian warga Korea Utara, Kim Chol (atau didakwa sebagai abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam) adalah insiden kedua, di dunia dan pertama di negara ini, membabitkan penggunaan agen saraf VX.

Ketua Makmal Pusat Analisis Senjata Kimia, Jabatan Kimia Malaysia, Dr S Raja, ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin, berkata insiden pertama berlaku pada 1994 di Osaka, Jepun.

“Bahan kimia agen saraf VX dilaporkan disembur pada bahagian leher mangsa,” katanya merujuk kepada tayangan slide pada pemeriksaan utama oleh Ketua Unit Bicara dan Rayuan, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Beliau memberi keterangan terhadap warganegara Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warganegara Vietnam, Doan Thi Huong, 28, dalam perbicaraan pembunuhan Kim Chol di sini, hari ini lapor Berita Harian.

Terdahulu, Dr Raja memberitahu mahkamah, kesan agen saraf VX banyak ditemui pada kolar dan kedua-dua lengan blazer milik Kim Chol.

Dr Raja berkata, berdasarkan kepada penemuan itu, beliau berpendapat Kim Chol cuma mengelap bahan kimia yang mengenai muka dan matanya.

Katanya, beliau membuat kesimpulan berdasarkan kepada sampel calitan pada kulit mangsa, terdapat kesan agen saraf VX sebanyak 0.2 miligram per kilogram (m/kg) daripada berat badan mangsa.

Ditanya berapa dos pendedahan pada kulit yang boleh membunuh (lethal dosage), Dr Raja berkata, berdasarkan kepada rekod terdahulu (kes di Osaka) ia pada paras 0.142 mg/kg.

Bagaimanapun, ditanya Wan Shaharuddin adakah ia cukup untuk membunuh, Dr Raja beliau tidak boleh memberikan jawapan khusus namun, katanya, berdasarkan kepada anggaran kepekatan sampel berkenaan, ia 1.4 kali lebih tinggi daripada dos yang boleh membunuh.

“Dalam kajian terhadap haiwan, didapati ia boleh mati jika terdedah pada dos sebanyak 0.142mg/kg,” katanya.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Gooi Soon Seng, Dr Raja berkata, jaket milik Kim Chol dimasukkan ke dalam beg kertas sebelum diserahkan semula kepada seorang pegawai polis, Asisten Superintendan Mohd Zaini Che Din pada 30 Mac lalu.

Katanya, beliau diberitahu bahawa ada sampel terpilih dihantar pulang ke Korea Utara. Selain itu, beg, kasut, seluar jeans, gelang tangan, dompet, rantai leher, cincin dan jam tangan milik mangsa juga dipulangkan,” katanya.

Dr Raja turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya mempunyai dua mesin pengesan racun agen saraf VX dan ia adalah mudah alih, iaitu FT Ramen dan HAZMAT ID.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");