Perak Hari Ini

Penduduk Gesa Naiktaraf Jalan

TRONG – Penduduk Kampung Senduk Seberang Batu 8, di sini, mengharapkan jalan yang digunakan sejak 20 tahun lalu dinaiktaraf kerana sudah rosak.

Penduduk, Zuwairi Badrun, 37, berkata, laluan itu digunakan penduduk meliputi hampir 20 kediaman.

Menurutnya, ia menjadi laluan penduduk mengeluarkan hasil kebun selain turut digunakan murid dan pelajar berulang alik ke sekolah setiap hari.

“Walaupun tak becak, tapi batu-batu dan pasir yang ada ini sebenarnya boleh bahayakan kami.

“Pernah jadi, seorang warga emas jatuh masa lalu jalan ini. Kita tak mahu kejadian tak diingini berlaku.

“Saya harap pihak yang berkenaan dapat beri perhatian terhadap kemudahan asas di kampung ini,” katanya.

Penduduk, Mohd Safar Bidin, 51, berkata, jalan sepanjang kira-kira 2 km menghubungkan beberapa kawasan antara Matang dan jalan utama Batu 8, Trong itu perlu dinaik taraf.

Katanya, selain jalan rosak, laluan tersebut juga tiada lampu jalan malah agak sempit.

“Ini bukan masalah baru, dah berlarutan sekian lama.

“Saya difahamkan pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga pernah beberapa kali mohon peruntukkan, tapi tak berjaya,” katanya.

Siti Khalijah Ad, 69, pula berkata, sebagai orang lama di kampung ini, dia berharap agar masalah ini dapat diselesaikan segera.

“Jalan yang baik sememangnya keperluan. Kalau jalan baik, mudahlah orang ramai nak berulang alik ke surau,” katanya.

Sementara itu, Adun Kuala Sepetang, Chua Yee Ling berkata, tidak dinafikan masih banyak kampung terpaksa berdepan masalah sama membabitkan penyelenggaraan sudah lama tidak dilaksanakan.

“Saya berharap agar bajet penyelenggaraan jalan ditambah untuk Bahagian Pembangunan Luar Bandar (PLB) pada tahun 2018.

“Selain itu, saya akan mengemukakan syor ini pada sidang Dewan Bajet 2018 negeri Perak pada November nanti,” katanya.- SinarOnline

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");