Berita Hari Ini

Penduduk Tanjung Bungah Bimbang Kejadian Tanah Runtuh Berulang

GEORGE TOWN — Tanjung Bungah sebelum ini cukup sinonim sebagai sebuah kawasan yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi, suasana bukit bukau yang penuh dengan kehijauan dan juga perkampungan nelayan yang kaya dengan hasil-hasil laut.

Tetapi itu cerita 40 tahun dahulu yang digambarkan beberapa penduduk di Tanjung Bungah yang melihat sendiri pembangunan kawasan itu daripada sebuah perkampungan nelayan kini menjadi sebuah bandar pilihan ekspatriat untuk didiami.

Manakan tidak, sebaik tiba di Jalan Tanjung Bungah, kawasan itu kini padat dengan bangunan-bangunan komersial lebih-lebih lagi kondominium yang tinggi dibina di lereng-lereng bukit bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Bagi Azlan Zakaria, 56, yang berniaga di Medan Selera berdekatan Masjid Terapung, beliau meluahkan rasa kebimbangannya terhadap perubahan yang dialami di kawasan Tanjung Bungah, yang semakin rancak setiap tahun.

Malahan, dengan berita tragedi tanah runtuh Sabtu lepas yang mengorbankan 11 nyawa, Azlan risau akan pembangunan di lereng-lereng bukit itu boleh mengakibatkan peristiwa tragis berulang.

“Cuba bayangkan rumah-rumah kondo tinggi di lereng-lereng bukit yang dibina dengan ketinggian lebih 30 tingkat runtuh akibat tanah runtuh? Ia bukan sahaja akan mengorbankan banyak nyawa tetapi juga membahayakan penduduk yang berada di sekeliling,” katanya dengan nada tegas ketika ditemui Bernama, di sini.

Sementara itu, seorang penduduk yang menetap di pangsapuri Masjid Terapung di sini, Nasir Bindot, 57, berkata pembangunan di lereng-lereng bukit perlu dihentikan.

“Saya faham, pembangunan memang diperlukan bagi memajukan sesebuah kawasan, tetapi sekiranya pembinaan bangunan-bangunan tinggi dilakukan secara tidak terkawal ia akan membahayakan banyak pihak terutamanya penduduk setempat,” katanya.

Dia yang telah menetap di kawasan itu sejak 56 tahun lepas mendakwa terdapat air terjun semula jadi yang dahulunya menjadi tempat kegemaran penduduk Tanjung Bungah untuk beriadah tetapi kini air terjun itu sudah tiada disebabkan pembangunan di lereng-lereng bukit.

Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Dayana, 41, yang menetap di sebuah kondominium di lereng-lereng bukit di Tanjung Bungah berkata walaupun rumah beliau baru mencapai usia 10 tahun, terdapat beberapa rekahan di dinding bangunan kediamannya.

“Baru-baru ini, terdapat rekahan di dinding bangunan terutamanya pada struktur bawah bangunan, walaupun pihak pengurusan telah menampal rekahan itu tetapi saya bimbang masih terdapat kawasan yang tidak ditampal,” katanya.

Berdasarkan tinjauan Bernama di beberapa kawasan lereng-lereng bukit seperti di Jalan Persiaran Bunga, Lorong Lembah Permai dan Jalan Chan Siew Teong dilihat terdapat pembangunan yang rancak sedang dilaksanakan khususnya di Jalan Persiaran Bunga.

Terdapat juga tanda-tanda rekahan di beberapa kondominium di lereng-lereng bukit yang boleh dinampak jelas dari luar.

Malahan, di lereng bukit berdekatan di Jalan Chan Siew Teong terdapat kanvas biru yang besar menutupi kawasan itu dan berdasarkan penjelasan penduduk di sekitar kawasan itu, lereng bukit berkenaan dikatakan mengalami insiden tanah runtuh bulan lepas.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");