Isu Panas, Perak Hari Ini

Pengumuman Pangkor Bebas Cukai Satu Tindakan Rasional: Saarani

IPOH: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, keputusan menjadikan Pulau Pangkor kepada pulau bebas cukai yang mengecualikan barangan seperti minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor adalah satu tindakan yang rasional.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang mengatakan Perak seperti dianaktirikan dan mendakwa sepatutnya Pulau Pangkor dijadikan pulau bebas cukai sepenuhnya seperti di Pulau Langkawi, Labuan dan Tioman.

“Kita berbuat demikian kerana tidak mahu orang datang ke Pangkor kerana mahu membeli arak dan rokok yang murah.

“Tindakan itu akan menimbulkan masalah dari segi masalah sosial dalam kalangan anak-anak muda di situ,” katanya.

Selain itu, menurut Saarani, keadaan muka bumi Pulau Pangkor yang berbukit juga tidak sesuai untuk menerima kedatangan kenderaan dengan jumlah yang banyak, jika kenderaan bermotor juga tidak dikenakan cukai.

“Masih ada banyak barangan lain yang bebas cukai seperti pakaian, pinggan mangkuk, dan coklat yang saya rasa tidak jadi satu masalah yang besar.

“Ini merupakan usaha sekian lama kita mahu menambahkan lagi tarikan baharu di Pulau Pangkor,” katanya.

Tambah beliau sewaktu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed mengumumkan Pulau Langkawi sebagai kawasan bebas cukai sepenuhnya, ia mendapat tentangan hebat dalam kalangan pembangkang.

“Saya masih ingat lagi mereka mengatakan ‘jika dahulu selama tujuh dekat (Pulau Langkawi) menjadi padang jarak padang terkurur, sekarang ia menjadi padang arak padang pelacur’.

“Saya masih ingat lagi kata-kata itu malah ia disebutkan dalam syarahan-syarahan mereka yang antaranya (disampaikan) Mat Sabu.

“Jadi, kalaulah kita mengumumkan ia bebas cukai sepenuhnya, pembangkang pula akan ‘balun’ kita semula,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak, melalui pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, mengumumkan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai tidak termasuk minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");