Jenayah

Penyata Bank: Rafizi, Bekas Kerani Diperintah Bela Diri

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Ampang, Rafizi Ramli diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan mendedahkan penyata akaun bank National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan dua yang lain kepada media berhubung skandal tersebut, lima tahun lalu.

Hakim, Zambri Bakar turut memerintahkan keputusan sama terhadap bekas kerani bank, Johari Mohamad yang dituduh bersubahat dengan Rafizi.

Dalam keputusan, Zambri berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes di akhir kes pendakwaan.

“Setelah meneliti kesemua hujahan yang dikemukakan, mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya buktikan kes prima facie,” katanya.

Pada 1 Ogos 2012, Rafizi, 40, yang juga merupakan Naib Presiden PKR  mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun pelanggan Public Bank Bhd iaitu NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Beliau didakwa mempunyai akses, melakukan perbuatan itu kepada Yusof Abdul Alim dan Erle Martin Carvalho di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square Jalan Tropicana Selatan Petaling Jaya pada 7 Mac 2012 .

Beliau didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 103 (1) (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Johari,46, yang didakwa bersubahat dengan Rafizi pada tarikh dan di alamat yang sama, juga mengaku tidak bersalah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 112 (1) (c) Bafia, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 103 akta yang sama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");