Jenayah

Perintah Reman Mohd Shafie Dilanjutkan

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret di sini, membenarkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang ditahan berhubung siasatan penyelewengan dana awam di Sabah, disambung reman empat hari lagi hingga Jumaat ini.

Majistret Cindy McJuce Balitus membuat keputusan itu berikutan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan perintah tahanan reman Mohd Shafie yang berakhir hari ini.

SPRM diwakili Pegawai Pendakwaan Mohd Faliq Basiruddin dan Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip serta Rozanah Abdul Hadi.

Mohd Shafie direman empat hari sejak Jumaat lalu hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berkaitan penyelewengan RM1.5 bilion dana awam untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah, disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) antara 2009 hingga 2015, lapor BH Online.

Ahli Parlimen Semporna dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu dibawa masuk ke Mahkamah Majistret 1, kira-kira jam 2 petang tadi sebelum keluar sejam kemudian.

Pagi tadi, Mohd Shafie hadir di Mahkamah Tinggi di sini untuk mendengar prosiding permohonan semakan semula peguamnya berhubung perintah tahanan reman Mahkamah Majistret pada Jumaat lalu, tetapi ditolak Pesuruhjaya Kehakiman, Ismail Brahim.

Mohd Shafie diwakili peguam Loretto J Padua, Martin Tommy, Cedric Choo, Hamid Ismail dan Zakaria Ismail.

Di luar pekarangan mahkamah, kira-kira 300 penyokong Warisan termasuk dua Naib Presiden parti itu, Datuk Peter Anthony dan Junz Wong serta Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berhimpun sejak pagi.

Pagi tadi, mahkamah sama membebaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal yang direman sejak Rabu lalu dengan jaminan RM100,000 termasuk RM50,000 deposit selepas tempoh sambungan reman beliau berakhir hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");