Perak Hari Ini

Perlu Beri Perhatian Sama Untuk Baikpulih Jalan Persekutuan

MANJUNG: Projek Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak yang sedang dalam pembinaan disifatkan satu bentuk rangsangan ekonomi yang baik kepada negeri namun perhatian khusus juga perlu diberikan kepada langkah menaiktaraf jalan-jalan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata sebarang kerjasama dan bantuan dari pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia adalah sangat dialu-alukan.

“Kita mahu projek lebuh raya ini tetapi dalam masa yang sama kita mahu kerajaan memberikan perhatian terhadap jalan persekutuan sepanjang hampir 1,200 kilometer.

“Agak lama ia tidak dibaikpulih dan dibawah pengurusan Kementerian Kerja Raya secara terus bukannya pada Kerajaan Negeri,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan jalan raya Tapah -Cameron Highlands katanya peruntukan lebih memberi perhatian terhadap pembaikan cerun apabila kawasan itu sering berhadapan dengan masalah tanah runtuh dan pokok tumbang.

“Hampir setiap bulan akan ada sahaja kes pokok tumbang dan sebagainya dan isu peruntukan menjadi masalah utama kepada baikpulih jalan tersebut,”katanya.

Terdahulu beliau mengulas mengenai Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak apabila siap kelak ia akan memberi faedah kepada pengguna juga menjana ekonomi penduduk setempat.

“Projek ini sedang berjalan dan kerja menambak memerlukan masa yang panjang hampir setahun bagi pelaksanaan projek seterusnya bagi sepanjang jajaran sejauh 233 kilometer ini.

“Penduduk setempat dan pemain industri pelancongan disaran untuk merebut peluang dengan ada lebuhraya dari segi ekonomi dan pendapatan mereka apabila lokasi projek berhampiran tempat pelancongan seperti di Pulau Pangkor dan Taiping,” katanya mengulas mengenai pembentangan bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak semalam yang mengumumkan pembinaan lebuh raya itu membabitkan kos RM5 bilion.

Jelasnya lagi projek tersebut bukan sahaja mengalakkan sumber ekonomi tetapi juga penjimatan masa perjalanan yang dahulunya memakan masa hampir tiga jam tetapi apabila siap boleh dipendekkan kepada satu jam.

“Saya berharap ia siap mengikut jadual dibentangkan pada penghujung 2019 tempoh kepada syarikat konsesi adalah selama lima tahun dan setakat ini kerja penambakan pada tahap 25 peratus,” katanya.

Beliau turut berharap pembinaan lebuh raya baharu ini dapat membantu menjana pendapatan penduduk di sekitar Hilir Perak, Manjung, Larut Matang dan Selama sehingga Changkat Jering apabila wujudnya peluang pekerjaan untuk mereka kelak.

Terdahulu Lebuh raya sepanjang 233 kilometer itu dikendalikan oleh syarikat konsesi West Coast Expressway Sdn Bhd sejak 2014 dengan pembinaannya dibahagikan kepada 11 fasa.

Fasa empat iaitu dari Jalan Persekutuan ke Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baharu dan fasa lapan dari Hutan Melintang ke Teluk Intan antara yang dijadual siap dan dibuka pada awal 2019.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");