Sukan Hari Ini

Piala Belia Milik Kedah

SKUAD bawah 19 tahun Kedah muncul juara Piala Belia selepas menewaskan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) 1-0 dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Darulaman, semalam.

Pelawat turun dengan kelebihan jaringan hasil keputusan 3-2 dalam final pertama di Stadium UiTM, Shah Alam, Rabu lalu, tetapi skuad muda Lang Merah mengimbangi kedudukan 3-3 untuk menang menerusi kelebihan jaringan.

Segala-galanya bermula baik buat SSMP yang hampir memusnahkan hajat tuan rumah pada separuh masa pertama.

Nizarruddin Jazi membawa bola ke depan selepas menerima hantaran menarik daripada rakan di sebelah kanan, namun rembatannya jauh melewati palang gol Kedah.

Kedah membalas serangan, Akhyar Rashid memberi kesukaran buat benteng SSMP menerusi larian pantasnya dengan sekurang-kurang dua pertahan pelawat berusaha keras menglangnya, sebelum bola keluar untuk memberikan sepakan penjuru pada minit ke-20.

Selepas itu, Noramirul Awang pula nyaris menambah kelebihan SSMP apabila dia berada di kedudukan baik untuk menjaringkan gol, bagaimanapun, penjaga gol Kedah, Wan Syazmin Wan Ruzaimi, lebih tangkas untuk menidakkan percubaannya.

Pada minit ke-30, Akhyar sekali lagi menunjukkan kelincahan dengan mengelirukan tiga pemain tetapi penyudahnya langsung tidak mencemaskan penjaga gol pelawat, Aidil Mirza Darwisy Mazhisam, kerana ia jauh tersasar.

SSMP berjaya mengekalkan kelebihan agregat 3-2 apabila kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan tanpa memperoleh sebarang jaringan.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah pada separuh masa kedua selepas Asnawi Sonkurnain menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-53, sekali gus meletakkan Kedah di depan menerusi kelebihan jaringan walaupun agregat terikat 3-3.

Kapten pasukan itu melakukan tandukan sambil melayangkan badan berpunca daripada bola sepakan percuma.

Jaringan itu juga menambahkan lagi semangat tuan rumah untuk terus mengasak kubu SSMP.

Antara percubaan paling menarik ditunjukkan oleh Asnawi selepas sepakannya dari sebelah kanan hanya dinafikan oleh palang.

Ketika baki perlawanan tinggal 10 minit, Akhyar pula muncul melakukan rembatan lencong untuk memaksa Mirza melayangkan badan menepis keluar.

Pelawat dilihat tidak lagi mampu menjaringkan gol ketika Kedah pula sudah berpuas hati untuk menamatkan perlawanan dengan kedudukan 1-0 (agregat 3-3).

Selaku juara Piala Belia, Kedah membawa pulang hadiah wang tunai RM80,000, sementara naib johan,  SSMP, membawa pulang RM50,000.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");