Sukan Hari Ini

PKBM Akan Ke Switzerland Selesaikan Isu Velodrom Rakyat

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengambil langkah proaktif apabila memutuskan untuk menghantar delegasi menemui Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi menyelesaikan status ‘homologation’ Velodrom Rakyat di Ipoh, Perak.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab menjelaskan, wakil UCI sudah melakukan lawatan ke Velodrom Rakyat pada Julai lalu, namun mereka mendakwa ada pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Jadi sehingga kini Velodrom Rakyat masih belum mendapat ‘homologation’. Susulan itu, sebagai badan gabungan UCI, kita mengambil langkah untuk mengadakan pertemuan bagi mengelakkan ia menjadi ‘gajah putih’,” kata Abu Samah, seperti dilaporkan BH Online.

Homologation adalah proses mengesahkan semua spesifikasi yang dibina di Velodrom Rakyat menepati piawaian UCI, sekali gus membolehkan sebarang kejohanan antarabangsa diadakan dan rekod dilakukan pelumba diiktiraf.

Proses membaik pulih Velodrom Rakyat mendapat dana berjumlah RM11 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan antara tujuannya adalah bagi mengatasi masalah kerosakan pada struktur terutama trek kayu yang dibina pada 1984.

Abu Samah menjelaskan, beliau akan mengetuai delegasi itu bagi bertemu Presiden UCI, David Lappartient di Aigle, Switzerland pada awal November nanti.

“Saya sudah menghubungi penyelaras UCI, Gilles Peruzzi bagi mendapatkan tarikh pertemuan.

“PKBM mesti segera selesaikan status homologation di Velodrom Rakyat yang bakal digunakan untuk pelbagai kejohanan termasuk Sukan Malaysia yang akan diadakan di Ipoh pada tahun depan,” katanya.

Beliau menegaskan, PKBM akan menyenaraikan nama Datuk Amarjit Singh selaku Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif UCI, kontraktor dan semua pihak yang mempunyai kepentingan di dalam pembinaan Velodrom Rakyat untuk ke Aigle nanti.

“Saya mahu semua pihak yang terbabit dalam pembinaan Velodrom Rakyat mendengar sendiri penjelasan bakal diberikan oleh Presiden UCI dan mencari jalan penyelesaian, katanya.

Velodrom Rakyat adalah velodrom pertama di negara ini yang dibina pada 1984 hasil sumbangan orang ramai.

Gelanggang itu pernah menganjurkan beberapa kejohanan utama dunia seperti Piala Trek Dunia 2000, Kejohanan Berbasikal Dunia B 1997 dan Kejohanan Lumba Basikal Asia 1991 (ACC 1991).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");