Sukan Hari Ini

PKNP Ketiga Terbaik

IPOH: Kejayaan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC bagi muncul sebagai pasukan ketiga terbaik Liga Perdana membuat kelab itu kini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pasukan elit lain di liga divisyen dua negara itu.

Menurut laporan Harian Metro, daripada sebuah pasukan hingusan, anak buah Abu Bakar Fadzim membuktikan kepada pasukan lain bahawa wang bukan jaminan kejayaan.

Sebaliknya, ia berkaitan dengan pentadbiran serta pengurusan cekap dan baik selain kerjasama serta persefahaman mantap antara pengurusan dan persatuan.

Dengan bajet kecil, PKNP FC boleh dianggap paling berjaya apabila mara ke dua suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Malam tadi, anak buah Bakar sekali lagi membuktikan perwatakan mantap apabila bangkit mengalahkan Terengganu 3-1 sekali gus menafikan impian skuad Penyu muncul juara Liga Perdana.

Mendahului 1-0 pada babak pertama, anak buah Irfan Bakti Abu Salim menerima padah apabila hilang pegangan dalam baki 45 minit saingan.

Bakar tidak dapat mengelak daripada memuji persembahan mantap anak buahnya yang tidak mengenal erti menyerah kalah sehingga wisel penamat.

“Pemain bermain dengan sepenuh jiwa dan raga mereka untuk menghasilkan kejayaan ini.

“Kedudukan tempat ketiga liga ini sebagai hadiah istimewa kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNP, Datuk Aminuddin Md Desa.

“Beliau orang utama di belakang kejayaan pasukan.

“Tanpa sokongan beliau tak mungkin semua ini menjadi kenyataan,” kata Bakar.

Sementara itu, kapten Terengganu, Lazaro Vinicusv berpendapat, punca kekalahan mereka adalah kerana pemain mengendurkan persembahan pada babak kedua.

“Entah kenapa pemain hilang fokus dan beraksi longlai walaupun kami sepatutnya menguburkan lawan pada separuh pertama lagi,” katanya.

Manakala penolong jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain mengaku kesilapan mereka kerana bersikap terlalu yakin pada babak kedua selepas menguasai aksi 45 minit pertama.

“Pemain hilang rentak selepas mengetahui JDT II sedang mendahului Kuala Lumpur dan akhirnya kami menerima padah,” katanya kecewa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");