Perak Hari Ini

Polis Rakam Percakapan Individu Ada Kaitan Kemalangan 9 Maut

TAPAH:Berikutan penemuan nombor plat sebuah kereta berhampiran lokasi kejadian kemalangan yang meragut sembilan nyawa di Kilometer 45 Jalan Ipoh-Teluk Intan kelmarin, Polis sudah merakam percakapan seorang pemandu kereta PROTON Iswara yang didapati turut terbabit dalam kemalangan tersebut.

Lelaki berusia 47 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah selepas polis mendapati kereta dipandunya turut terbabit dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw, berkata siasatan lanjut di lokasi kejadian, jam 4 petang Sabtu lalu menemui plat nombor pendaftaran sebuah kenderaan kira-kira lima meter dari lokasi kejadian.

?Jelasnya, hasil semakan mendapati kereta berkenaan dimiliki lelaki berusia 47 tahun itu.

“Sepasukan pegawai dan anggota pergi ke sebuah rumah di Langkap, Teluk Intan dan mendapati lelaki terbabit mengaku turut terbabit dalam kemalangan itu,” katanya pada sidang media di IPD Tapah di sini hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit memaklumkan ketika kejadian, pemandu lori yang membawa muatan ais merempuh bahagian kanan belakang kereta miliknya sebelum melanggar van yang dinaiki sembilan mangsa.

“Selepas dirempuh, kereta berkenaan berpusing dua kali dan berhenti di kiri jalan raya sebelum pemandu terbabit meninggalkan lokasi kejadian.

“Lelaki terbabit tidak membuat laporan polis berhubung kemalangan itu berikutan lesen memandunya tamat tempoh dan kereta dipandu tidak mempunyai cukai jalan dan insurans kereta.

“Kereta yang disembunyikan di belakang rumahnya dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

Som Sak berkata, susulan itu lelaki terbabit hadir ke IPD Tapah malam tadi untuk dirakam percakapan sebelum polis mengeluarkan saman kerana tidak memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 22 tahun pula ditahan selama 24 jam bagi membantu siasatan berhubung kemalangan itu.

Terdahulu, sembilan maut termasuk pemandu van selepas dirempuh lori yang membawa muatan ais di lokasi kejadian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");