Isu Panas

PPBM Umpama Dikejar Tak Dapat, Dikendong Berciciran

KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa PPBM dan gabungan pembangkang menerima sokongan daripada orang Melayu disifatkan seperti dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata dakwaan yang dibuat tanpa segan silu itu lahir akibat perasaan dendam kesumat, marah, geram dan sakit hati yang tiada penghujung.

“Muhyiddin juga mendakwa UMNO ketakutan sehingga membentang bajet yang disifatkannya sebagai populis.

“Ia satu percubaan untuk memperbodohkan orang Melayu sendiri dan juga rakyat majmuk kaum di negara kita ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Annuar berkata, rakyat Malaysia, apatah lagi orang Melayu mengikut sejarah, amat arif dan bijaksana dalam adat berpolitik.

“Mereka umpama jauhari yang mengenal manikam, mereka sedar PPBM di bawah gabungan pembangkang adalah kumpulan yang dikuasai DAP.

“Orang Melayu mengetahui dasar sosialis DAP, dan perjuangan mereka bukan untuk Islam dan orang Melayu.

“Mereka tidak akan memperjudikan nasib dan masa depan negara kepada DAP dan pihak yang memperjudikan hak dan kedudukan orang Melayu dan Islam kepada DAP,” katanya.

Beliau berkata, orang Melayu tahu tindakan pemimpin Melayu bertelagah dan membuka parti serpihan sebagai agenda peribadi dan tamak kuasa.

Katanya, ia petanda cukup jelas bahawa orang Melayu dan Islam, malah kaum lain, mula menjarakkan diri dari gabungan pembangkang pimpinan DAP.

“Malah ia semakin ketara betapa orang Melayu akan merapatkan saf dan meningkatkan solidariti dan taawun untuk kebaikan Islam.

“Apabila ini terjadi, kumpulan serpihan yang meninggalkan perjuangan yang asal akan kita kuburkan melalui Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelak sekali gus melindungi hak orang Melayu seperti mana termaktub dalam perlembagaan.

“PPBM dan gabungan pembangkang pimpinan DAP bukan pilihan terbaik untuk orang Melayu dan Islam serta kaum lain di negara ini.

“Amat malang jika orang Melayu dan umat Islam serta rakyat Malaysia pelbagai bangsa terjerumus dengan sepak terajang politik PPBM dan gabungan pembangkang,” katanya.-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");