Isu Panas

PRU14: Pakatan Pembangkang Pahang Tidak Sekata Bahagi Kerusi

KUANTAN: Pakatan pembangkang di Pahang gagal mencapai kata putus mengenai pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan wujud pertindihan antara parti dalam komponen terbabit.

Pengerusi Sekretariat Pakatan Harapan Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman mengesahkan berlaku pertindihan di tiga kerusi iaitu dua bagi kawasan DUN, manakala satu untuk Parlimen sekali gus menggugat kerjasama pakatan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan kawasan terbabit dan menjelaskan keputusan akhir mengenainya akan diputuskan pucuk pimpinan tertinggi pakatan pembangkang di peringkat pusat.

“Setakat ini hampir keseluruhan pembahagian sudah diselesaikan, untuk kerusi DUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di 12 kerusi, DAP lapan kerusi manakala Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masing-masing 10 kerusi.

“Bagi Parlimen pula, PKR akan meletakkan calon di empat kerusi Parlimen manakala DAP, PAN dan PPBM masing-masing tiga kerusi.

“Kita bersedia berdepan dengan pertandingan tiga penjuru selepas PAS tidak menunjukkan sebarang minat untuk bekerjasama dengan pakatan pembangkang,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Difahamkan antara kawasan berlaku pertindihan adalah Parlimen Bentong yang secara tradisinya ditandingi oleh DAP, tetapi ada ura-ura Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah bakal dicalonkan di kerusi berkenaan.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2015 itu dikatakan sudah memulakan gerak kerja di Parlimen Bentong.

Ia sekali gus menguatkan lagi spekulasi itu (pertindihan pembahagian kerusi antara parti pembangkang) dan Setiausaha DAP Pahang, Lee Chen Chin turut mengesahkan bahawa masih ada pembahagian kerusi membabitkan parti itu yang belum diputuskan pakatan pembangkang di negeri ini.

Fauzi yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota bagaimanapun enggan mengesahkan kerusi yang berlaku pertindihan terbabit adalah Parlimen Bentong yang pada pilihan raya lalu dimenangi Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menewaskan calon DAP, Wong Tack.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");