Perak Hari Ini

Remaja Hina Sultan Perak Ditahan

IPOH: Seorang pelajar Tingkatan Enam di sebuah sekolah di Muar, Johor, ditahan selepas dipercayai memuat naik status menerusi laman sosial menghina Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Jumaat lalu.

Perbuatan disyaki dilakukan menerusi laman Twitter pemilik akaun yang menggunakan nama @Farhaleigh, menjawab kepada pemilik akaun @iloveyouIPOH dengan menulis perkataan yang menjengkelkan hingga status berkenaan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat negeri ini sekali gus menjadi viral di laman sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, berkata polis menerima enam laporan berhubung tindakan pemilik akaun berkenaan pada Sabtu lalu.

Susulan itu, katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan awal mendapati penghinaan itu berpunca daripada perbalahan antara dua kumpulan penyokong bola sepak yang menggunakan nama Perak Power dan My Football Liga.

“Polis berjaya mengesan dan menahan suspek berusia 19 tahun yang juga pelajar Tingkatan Enam di sebuah sekolah di Muar, Johor, semalam, dan merampas telefon bimbit milik suspek yang disyaki digunakan untuk memuat naik status berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan lapor Berita Harian.

Hasnan berkata, suspek yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) November ini, direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, polis memandang serius perkara itu dan berharap orang ramai tidak mengambil mudah menggunakan laman sosial sebagai perantaraan untuk meluahkan perasaan dan cacian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");