Berita Hari Ini

Sekatan Baru Ke Atas Individu, Entiti Dari Korea Utara

WASHINGTON – AMERIKA SYARIKAT. Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengeluarkan perintah sekatan baharu ke atas tujuh individu dan tiga entiti Korea Utara berkaitan apa yang disifatkan sebagai pelanggaran hak asasi manusia, lapor agensi berita China Xinhua.

“Sekatan yang dikeluarkan hari ini menyasarkan tentera Korea Utara dan pegawai rejin yang terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia secara terang-terangan,” kata Setiausaha Jabatan Perbendaharaan AS Steven Mnuchin dalam satu kenyataan.

Fasilitator Kewangan Pyongyang “yang berusaha menyelamatkan rejim itu dengan perolehan mata wang asing menerusi operasi buruh paksa” turut menjadi sasaran, kata Mnuchin.

Antara individu yang dikenakan sekatan ialah pegawai keselamatan tentera Korea Utara dan Menteri Buruh Jong Yong Su.

Konsul Jeneral Korea Utara di Shenyang, China dan seorang diplomat di kedutaan China di Vietnam turut menjadi sasaran.

Langkah itu menyaksikan sebarang harta benda atau kepentingan individu yang menjadi sasaran di AS akan disekat dan urus niaga oleh rakyat Amerika membabitkan mereka secara umumnya adalah dilarang.

Langkah baharu itu diambil sebulan selepas Jabatan Perbendaharaan AS mengenakan sekatan ke atas lapan bank dan 26 individu yang mempunyai kaitan dengan rangkaian kewangan Korea Utara sebagai tindak balas terhadap perkembangan yang sedang berlaku di negara itu membabitkan senjata pemusnah besar-besaran.

Korea Utara berjaya menguji dua peluru berpandu antara benua dan sebutir bom hidrogen tahun ini, yang mencetuskan dua sekatan ekonomi baharu oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");