Berita Hari Ini

Selangor Tarik Balik Tauliah Zamihan

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya tauliah Dr. Zamihan Mat Zain ditarik balik  dan membatalkan keahlian beliau sebagai Jawatankuasa Tauliah Negeri Selangor.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, baginda bertitah, keputusan tersebut diambil selepas mengadakan perbincangan dengan Dewan di-Raja Selangor semalam, lapor Malaysia Gazette.

Kedua-dua tindakan tersebut adalah di bawah peruntukan Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“Tindakan ini adalah lanjutan daripada satu ceramah agama yang disampaikan oleh Dr.Zamihan yang mengandungi perkataan-perkataan rasis, kurang beradab dan kritikan melampau terhadap institusi diraja.

“Tambahan pula ceramah agama yang disampaikan beliau diadakan di Masjid Diraja, yang mana ceramah agama seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” titahnya,

Selain itu, Sultan Selangor turut menitahkan supaya setiap ceramah dan kuliah yang diadakan di semua masjid dan surau dalam negeri itu direkodkan menerusi rakaman video.

Ini, menurut baginda bagi merekod dan memantau setiap isi kandungan ceramah yang berlangsung.

Baginda juga menitahkan supaya penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah di seluruh Selangor dihadkan di dalam bangunan masjid dan surau sahaja.

Ia mestilah tidak melangkaui sehingga kawasan luar masjid dan surau kecuali untuk laungan azan dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

“Raja-raja Melayu berpendirian bahawa imej Islam sebagai agama Persekutuan adalah agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleransi, sederhana dan inklusif dan wajid dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan-tindakan yang bersifat keterlaluan dan memisahkan rakyat,” titahya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");