Berita Hari Ini

Senarai Kementerian Berdasarkan Isu Rasuah Diumum Selewat-Lewatnya November

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini di peringkat akhir memuktamadkan senarai ranking kementerian berdasarkan kedudukan isu rasuah dan salah guna kuasa untuk diumumkan selewat-lewatnya akhir November.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata pada masa ini, senarai berkenaan sedang menunggu untuk dikemukakan kepada Ketua Pesuruhjayanya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

“Senarai tersebut sudah disiapkan oleh jawatankuasa yang bertanggungjawab namun belum dikemukakan kepada ketua pesuruhjaya lagi,” katanya ketika berucap pada majlis lafaz ikrar bebas rasuah warga Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) di sini hari ini lapor Bernama.

Menurut laporan media sebelum ini, senarai ranking yang akan diumumkan SPRM itu merangkumi 10 kementerian paling bermasalah serta lima paling bersih dalam soal rasuah dan salah guna kuasa.

Shamsun Baharin berkata KWP merupakan kementerian yang ke-18 menandatangani ikrar bebas rasuah (IBR) dan SPRM berharap kesemua 25 kementerian dan kerajaan negeri Selangor menandatangani IBR menjelang akhir tahun ini.

“Semua negeri sudah tandatangan IBR kecuali negeri Selangor,” katanya.

Pada majlis hari ini, seramai 320 warga KWP melafazkan IBR diketuai oleh Ketua Setiausaha KWP Datuk Seri Adnan Md Ikhsan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");