Isu Panas

Serangan Peribadi Terus Warnai PRU14

SETIAP kali kempen pilihan raya, semua parti yang bertanding akan menggunakan pelbagai cara bagi memastikan calon mereka menang. Calon mereka berjiwa rakyat, mempunyai kebolehan dari segi pendidikan, berkarisma dan ada kredibiliti untuk mewakili rakyat.

Jika kempen digunakan positif dan menghormati calon lawan, sudah pasti akan memeriahkan pilihan raya selain dapat menjaga keharmonian masyarakat, tapi adakah semua pihak memilih berkempen dengan cara ini?

Tidak dinafikan, masih ada pihak atau calon ‘aktif’ menyerang lawan dengan cara menghentam peribadi terutama berkaitan seksual walaupun kebanyakannya bersifat fitnah atau menokok tambah kisah yang sudah berlaku berpuluh tahun lalu.

Kenapa cara negatif ini masih menjadi pilihan golongan ini? Adakah ini cara paling mudah atau memang masyarakat kita lebih suka mendengar kisah dalam kelambu? Ikuti laporan SOROT minggu ini mengenai serangan peribadi dalam kempen pilihan raya.

Serangan peribadi calon pilihan raya lebih banyak berlaku di negara membangun walaupun isu ini bersifat universal.

Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yakin menjelang PRU14, masih banyak taktik propaganda menyerang peribadi calon bertanding akan dipraktikkan.

“Meskipun negara sudah 60 tahun mengecap kemerdekaan namun atmosfera politik dalam negara masih belum mencapai tahap matang dan bertamadun tinggi. Jadi saya tak tolak kemungkinan skil serangan peribadi akan terus dimomokkan dalam kempen PRU14 ini.

“Kempen pilihan raya dalam konteks negara bertamadun tinggi biasanya tidak guna serangan peribadi sebagai senjata. Melainkan ada perkara yang tidak baik yang ada dalam diri orang itu yang buatkan dia tidak layak diangkat sebagai wakil rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Rashid yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi sesi 2000 hingga 2008 berkata,  ada juga serangan peribadi yang tuntas digunakan untuk menjatuhkan calon, contohnya calon itu terkenal dengan korupsi, maka tiada alasan untuk dia dipilih.

“Apabila terbukti seseorang itu lemah, terkenal dengan rasuah dan penyelewengan, macam mana kita sebagai pengundi sanggup untuk pilih dia sebagai wakil rakyat?

“Dakwaan perlu berasaskan kes dan dalil. Contohnya kita gelar dia  pencuri, penyangak mesti ada bukti. Kalau tak betul, isu ini boleh di bawa ke mahkamah, susah juga. Harus berlandaskan kes dan fakta,” tegasnya.

Tambahnya, jika seseorang itu diakui tidak sesuai dipilih sebagai wakil rakyat berasaskan fakta peribadi yang ‘teruk’ misalnya perogol dan ditangkap khalwat, tidak mungkin ia layak.

Dalam pada itu, Abdul Rashid memaklumkan, suasana politik Malaysia belum mencapai tamadun tinggi kerana masih ada isu serangan peribadi yang direka untuk panaskan musim berkempen.

“Tapi pengundi sekarang dah bijak, mereka tahu dan arif dengan gosip sama ada benar atau hanya taktik menjatuhkan seseorang calon.

“Bahkan pengundi di kawasan bandar sangat celik dengan isu semasa. Mereka matang menilai tawaran parti bukannya individu itu. Parti politik dinasihatkan memperjuangkan platform parti, rancangan untuk baiki kehidupan rakyat dan taraf pendidikan,” katanya.

Selaku bekas orang kanan dalam SPR, Abdul Rashid berkata, serangan peribadi calon pilihan raya tidak termaktub dalam bidang kuasa SPR tetapi ia boleh didakwa berdasarkan kesalahan sivil jika serangan itu berunsur fitnah dan menjatuhkan maruah.

“Tak ada tindakan pilihan raya,  tetapi oleh kerana ia dilakukan di khalayak ramai jadi ramai yang dengar dan percaya.

“Jatuhkan maruah, dia berhak ambil tindakan, mangsa sabotaj berhak dapat pengadilan,” ujarnya.-Sinar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");