Sukan Hari Ini

SOJC: Malaysia, Jepun Sama Hebat

MALAYSIA dan Jepun terikat 1-1 dalam aksi ketiga saingan Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya Johor Bahru, malam ini.

Jepun dan Malaysia turun dalam perlawanan itu dengan misi untuk memburu kemenangan sulung susulan dua kekalahan awal dialami mereka.

Tewas sekali lagi bakal menyaksikan kedua-dua pasukan terjerumus ke tangga keempat dan kelima carta di belakang India, Great Britain dan juara bertahan, Australia.

Keputusan seri itu juga tidak cukup bagi meningkatkan kembali keyakinan dan motivasi mereka.

“Pemain tidak bermain dengan baik dan seperti dua perlawanan sebelum ini, kami gagal menyempurnakan peluang yang ada untuk menjaringkan gol. Kami juga merasakan pemain keletihan dan tidak berada pada tahap kecergasan terbaik mereka.

“Bahagian pertahanan kami juga tidak bermain dengan baik apabila lambat untuk menutup ruang sehingga membolehkan pemain Jepun menjaringkan gol penyamaan,” kata pengurus Malaysia, Nur Saiful Zaini lapor Sinar Harian.

Sementara itu, ketua jurulatih Jepun, Kyoichi Nagaya gembira dengan semangat juang ditunjukkan anak buahnya yang kembali bangkit selepas ketinggalan.

“Kami mahu mengekalkan momentum memasuki separuh masa kedua dengan harapan mampu menjaringkan gol tetapi terlepas beberapa peluang. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi pemain,” katanya.

Jepun bermula garang apabila mempamerkan corak permainan menyerang pada enam minit pertama perlawanan.

Malangnya, Shinichi Kamezaki yang mempunyai peluang terhidang gagal melakukan pukulan kemas bagi mengatasi penjaga gol Malaysia, Muhammad Zaimi Mat Deris.

Aksi dramatik kedua-dua pasukan akhirnya memihak Malaysia di suku kedua perlawanan.

Mendapat sokongan lebih kurang 2,000 penonton yang hadir di stadium selain pukulan gedang, pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Mohamad Akhimullah Anuar Esook mencuri perhatian apabila meledak gol pertama menerusi gol padang minit ke-17 mengatasi penjaga gol Jepun, Yasuke Takano.

Yasuke diturunkan buat kali pertama dalam kejohanan ini menggantikan tempat Yuri Arnould yang direhatkan.

Jepun kembali memperkemaskan corak permainan mereka memasuki suku ketiga dan hasilnya pasukan berkenaan berjaya pukulan sudut penalti. Takumi Ineyama tenang menyempurnakan peluang itu sekali gus menyamakan kedudukan buat Jepun minit ke-32.

Malaysia akan menentang Amerika Syarikat esok pada jam 6 petang manakala Jepun bertemu Great Britain (8.35 malam).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");