Berita Hari Ini

Sultan Kedah Terima Darjah Kerabat Johor

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah menerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK1) daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Majlis penganugerahan dimulakan dengan bacaan doa oleh Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Nooh Gadot dengan diikuti istiadat mempersempahkan darjah tersebut.

Kemudiannya doa penutup dibacakan oleh Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Abdul Hamid Thani, Tunku Laksamana Kedah Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tunku Sallehuddin dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.

Turut hadir ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dan pegawai kerajaan.

Selepas selesai majlis penganugerahan, baginda berdua berangkat ke Balai Penghadapan untuk bergambar sebelum berangkat untuk majlis santapan.

Sultan Kedah kemudiannya mengiringi Sultan Johor untuk menandatangani Buku Lawatan Diraja di Anjung Istana sebelum berangkat ke Makam Diraja Langgar di sini bagi menziarahi makam Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang diputerakan pada 28 November 1927 mangkat di Istana Anak Bukit pada 2.30 petang, 11 September lepas.

Almarhum adalah satu-satunya Raja Melayu yang memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Kali pertama selaku Yang di-Pertuan Agong ke-5 pada 21 Sept 1970 hingga 20 September 1975 dan kali kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember 2011 hingga 13 Disember 2016 lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");