Jenayah

Tanam Ketum Di Hutan Simpan

GURUN: Sebanyak 50 batang pokok ketum ditanam di Hutan Simpan Bukit Perak, Gurun, dimusnahkan dalam Op Pugar dijalankan Jabatan Perhutanan sejak Selasa lalu hingga hari ini.

Operasi penguatkuasaan bersepadu Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dilaksanakan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Timbalan Pengarah Operasi JPNK, Mohd Rahim Ramli berkata, pokok ketum yang ditemui berusia setahun dan dipercayai ditanam oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk dijual.

“Kita sudah mengambil tindakan memusnahkan semua tanaman itu menggunakan parang, gergaji dan jengkaut.

“Turut dimusnahkan sebuah pondok rehat yang dibina oleh peneroka haram dan menyita dua motosikal yang ditinggalkan di hutan simpan itu,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Operasi Penguatkuasaan Hutan Bersepadu (NBOS) JPSM-JPNK bersama agensi di Pusat Latihan Perhutanan Jeniang, Batu 10, Gurun, hari ini, lapor Harian Metro.

Majlis terbabit disempurnakan Pengarah Perhutanan Negeri Kedah, Datuk Mohd Nasir Abu Hassan.

Mohd Rahim berkata, seramai 157 orang anggota membabitkan JPNK dan JPSM serta pelbagai agensi lain terbabit menjayakan operasi itu.

“Sepanjang operasi kami berjaya mengesan beberapa lokasi di kawasan hutan simpan yang diceroboh pekebun haram.

“Pelbagai jenis tanaman yang ditanam secara haram termasuk pokok ketum, pokok getah, dan beberapa jenis tanaman buah-buahan,” katanya.

Menurutnya, selain Op Pugar pihaknya juga menjalankan Op Transit, bertujuan menjalankan kawalan dan semakan pergerakan transit membawa hasil hutan dan menjalankan penguatkuasaan ke atas pengusaha hasilan kayu getah.

“Op Pugar membabitkan tiga Zon Hutan Simpan Bukit Perak seluas 16 hektar manakala Op Transit pula diadakan semalam dan hari ini di daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Baling dan Kulim.

“Operasi mencegah kegiatan menyalahi undang-undang di dalam kawasan hutan simpanan kekal dan kesalahan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");