Isu Panas

Tiada Kerjasama UMNO-PAS Di Kelantan: Mustapa

KOTA BHARU: UMNO Kelantan menafikan dakwaan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa, berhubung wujud kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata dakwaan itu tidak benar sama sekali dan perbincangan ke arah itu tidak pernah wujud.

“Saya selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO sudah pasti akan tahu terlebih dulu jika perkara ini benar dibincangkan. Namun, ia tiada dalam pengetahuan saya dan semestinya dakwaan itu tidak benar.

“Dakwaan mengatakan terdapat rundingan berhubung kerusi Menteri Besar selepas PRU-14 juga tidak benar sama sekali,” katanya pada sidang media selepas selepas mengadakan mesyuarat Program Usahawan Jeli di RTC Tunjong, di sini, hari ini.

Husam sebelum ini mendakwa, PAS Kelantan berniat bekerjasama dengan BN pada PRU-14, namun gagal apabila mendapat tentangan daripada pemimpin kanan parti itu.

Pemimpin PAS yang tidak bersetuju dengan hasrat berkenaan dikatakan membuat bantahan dengan menghantar surat kepada pemimpin tertinggi parti dan perkara itu turut dibincangkan ketika pemukiman parti itu di Pulau Pangkor, Perak awal bulan lalu.

Dakwaan Husam itu turut dinafikan PAS Kelantan sambil menyifatkan kenyataan Husam hanya rekaan semata-mata.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata pemimpin terbabit sentiasa membuat cerita memburukkan PAS untuk mengelirukan masyarakat sedangkan perkara itu tidak berlaku.

“PAS dan BN di Kelantan kini masing-masing bersaing dan menyusun strategi bagi menghadapi PRU-14 tidak lama lagi. Jadi, di mana wujud kerjasama seperti dakwaan Husam,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");