Isu Panas

Umno Terus Perhebat Kempen ‘4All’

KOTA BHARU – Umno akan terus memperhebatkan program penerangan secara bersemuka dan media sosial dalam usaha menyampaikan mesej kepada khalayak yang lebih ramai.

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, program Sesi Dialog Perjuangan ‘4All’,  yang sedang menjelajah ke seluruh negara, ternyata mendapat sambutan ramai kerana ia menggabungkan penerangan secara bersemuka dan disiarkan melalui media sosial Facebook.

“Sejak kita lancar sudah ada orang mengikuti secara tetap dan setiap program kita, orang yang mengikuti melalui Facebook tidak kurang daripada 10,000 dan pernah capai lebih 30,000,” katanya kepada pemberita pada sesi ke-12 program tersebut di peringkat Parlimen Ketereh di sini, malam ini.

Selain Annuar, turut menjadi panel dalam program yang dikendalikan Datuk Dahlan Maamor sebagai moderator itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Adun Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad.

“Kaedah ini juga menunjukkan pendekatan yang lebih bersifat keterbukaan sebab kita juga menerima soalan daripada orang ramai yang hadir termasuk wakil DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia pun datang dan turut bertanya soalan,” katanya.

Annuar berkata melalui kaedah tersebut, pihaknya dapat mengetahui persoalan yang bermain difikiran rakyat dan usaha boleh dilakukan untuk mengatasinya.

“Pendekatan secara terbuka lebih sesuai dengan keadaan sekarang terutama dengan generasi muda, mereka tidak semestinya habiskan masa untuk berada di ceramah-ceramah tetapi mereka boleh duduk di depan laptop atau telefon pintar untuk mengikuti perbincangan isu-isu semasa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak permohonan bukan sahaja daripada Umno bahagian tetapi agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang memohon diadakan program ini.

Sementara itu, Mustapa berkata, Umno bertekad untuk menjadikan Kelantan milik BN pada PRU14 supaya rakyat dan negeri dapat dimajukan.

Beliau berkata, dalam tempoh 27 tahun pentadbiran negeri di bawah Pas, Kelantan tertinggal dalam pelbagai aspek pembangunan kerana ketidakmampuan kerajaan pimpinan parti tersebut. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");