Jenayah

UPNM Pohon Kes Pukul Dibicara Bersama Kes Bunuh

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan memohon supaya kes 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang menyebabkan cedera terhadap rakan seuniversiti mereka, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain dipindah dan dibicarakan bersama dengan kes bunuh Zulfarhan Osman di Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz mengemukakan permohonan itu semasa kes berkenaan disebut di hadapan Majistret Siti Radziah Kamaruddin hari ini.

Peguam Mohd Fadhly Hashim, Datuk Ranjit Singh Dhillon, Zamri Idrus, A.G Kalidas dan Joshua Tay yang mewakili kesemua tertuduh tidak membantah permohonan itu dan mahkamah menetapkan 30 Okt bagi pengurusan kes di Mahkamah Tinggi untuk mendengar permohonan berkenaan di Mahkamah Tinggi.

Pada 14 Jun lepas, 19 penuntut UPNM mengaku tidak bersalah dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Zulfarhan Osman bagi maksud hendak memeras mangsa untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Tiga belas daripada mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail; Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain; Ahmad Shafwan Berdal; Muhammad Amirul Asraff Mala; Luqman Hakim Shamsuri; Muhammad Sufi Mohd Mustapha; Noriznan Izzairi Noor Azhar;
Muhamad Ashraf Abdullah; Muhammad Danial Firdaus Azmir; Muhammad Hasif Ismail; Muhammad Akmal Akif Alias; Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Sementara itu, enam lagi tertuduh yang menghadapi pertuduhan mencederakan Zulfarhan Osman iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; Muhammad Azamuddin Mad Sofi; Muhammad Najib Mohd Razi; Muhammad Afif Najmudin Azahat; Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, juga didakwa atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman.

Mereka yang semuanya berumur 21 tahun itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam bilik 03-05 Blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei lepas dan di bilik 04-10, asrama sama, antara 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei lepas.

Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan membunuh pula, keenam-enam lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Zulfarhan Osman, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun, dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya.

Mangsa dilapor mengalami kesan melecur di bahagian dada, tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");