Isu Panas

Wisma Tok Guru: PAN Tunggu Arahan Mahkamah

KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (PAN) tidak akan mengosongkan Wisma Tok Guru, di Kampung Pendek, Salor, yang menjadi perebutan dengan PAS selagi tidak mendapat arahan mahkamah.

PAS sebelum ini sudah menghantar notis meminta PAN mengosongkan bangunan terbabit selewat-lewatnya 16 November depan, namun keadaan menjadi sukar apabila PAN mendakwa mereka dibenarkan mendiami premis terbabit oleh Allahyarham Datuk Rosli Ibrahim.

Difahamkan, tanah milik isteri kepada Rosli itu sudah dijual kepada PAS dengan harga RM700,000.

Pengerusi PAN Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, berkata mereka tidak akan mengosongkan wisma berkenaan selagi tiada keputusan daripada mahkamah.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa, dijangka membawa kes berkenaan ke mahkamah dan bangunan terbabit hanya akan dikosongkan atas arahan mahkamah.

“Kes ini menjadi semakin rumit kerana penama tanah berkenaan sudah menjual tanah terbabit. Namun, tanah berkenaan mempunyai banyak lot menyebabkan perkara ini semakin keliru.

“Disebabkan itu, kami mengambil keputusan menunggu keputusan mahkamah sama ada memihak kepada kami atau PAS,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, berlaku ketegangan membabitkan penyokong PAS dan PAN berhubung isu perebutan premis terbabit Ahad lalu apabila ahli PAS di ketuai Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari memasang bendera PAS di luar pagar wisma terbabit.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri, Nazman Che Iberahim, berkata kehadiran mereka ke premis terbabit hanya mahu menyampaikan mesej kepada PAN supaya mengosongkan bangunan itu selewat-lewatnya 16 November depan.

Beliau juga mendakwa, PAN cuba mengingkari notis apabila bercadang mengadakan program pelancaran jentera pilihan raya parti itu bulan depan di wisma berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");