Perak Hari Ini

2,041 Pelajar SRAI Di Perak Dapat Gred A

IPOH: Seramai 2,041 calon yang menduduki Sijil Rendah Agama Islam (SRAI) di Perak mendapat keputusan cemerlang Gred A bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan itu tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria, berkata keputusan menunjukkan peningkatan tiga peratus berbanding seramai 1,701 calon yang memperoleh keputusan sama tahun lalu.

Katanya, Gred Purata Keseluruhan (GPK) turut mencatatkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus iaitu 1.75 mata berbanding 1.74 mata tahun lalu.

“Seramai 2,041 calon pula mendapat 6A;1,194 5A; 4A (1,277); 3A (1,447); 2A (1,847) dan 1A (2,213).

“Jumlah yang tidak memperoleh sebarang A dalam SRAI ialah seramai 1,280 calon manakala murid yang tidak mencapai tahap dalam semua mata pelajaran pula ialah seramai 876 calon,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan keputusan SRAI 2016 bagi negeri itu di bilik mesyuarat Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Mohd Nizar berkata, Sekolah Rendah Agama Rakyat At-Taufiqiah Kampung Melayu Bali Tronoh Batu Gajah menjadi Sekolah Rendah Agama terbaik dalam SRAI pada tahun ini manakala daerah Parit Buntar mendapat pencapaian terbaik berdasarkan perbandingan gred purata mengikut daerah apabila mendapat 1.62 mata gred purata secara keseluruhan.

Beliau berkata, pelajar dari Sekolah Rendah Agama Rakyat Nurul Khairiah Taman Lela Kamunting, Ahmad Sya’rawawi Ahmad Syukri pula menjadi pelajar terbaik dengan memperoleh markah tertinggi keseluruhan.

Katanya, sebanyak 11,299 calon yang mendaftar di 247 pusat peperiksaan untuk menduduki SRAI dan 11,621 daripadanya  menghadiri peperiksaan berkenaan pada tahun ini melibatkan 686 buah sekolah berdaftar dan sekolah agama rakyat sepenuh masa.

Sementara itu beliau turut mengumumkan permohonan bagi kemasukan ke tingkatan satu sekolah menengah agama kerajaan negeri Perak 2018 akan dibuka secara atas talian (online) sejurus selepas keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan.

“Permohonan boleh dilakukan menerusi online dalam tempoh masa dua minggu selepas keputusan diumumkan,” katanya.

Pemohonan boleh membuat permohonan di tiga laman sesawang rasmi iaitu egerbang.perak.gov.my/smanjaipk; jaipk.perak.gov.my dan jaipk.edu.my.

Calon yang memenuhi syarat akan dipanggil menduduki ujian khas hafazan Al-Quran (lisan).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");