Perak Hari Ini

90,976 Pengguna Nikmati Subsidi Air Sejak 2008

IPOH – Kerajaan Perak telah memberikan subsidi air berjumlah RM8.35 juta kepada keseluruhan 90,976 penerima menerusi Program Air Percuma 20 meter padu sebulan untuk rakyat miskin dan rumah ibadat sejak 2008.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata ketika diperkenalkan pada 2008, jumlah penerima adalah seramai 4,649 orang dan meningkat setiap tahun.

“Ketika program itu diperkenalkan pada 2008 ia hanya diberi kepada rakyat miskin, namun pada 2010, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memperluaskannya kepada rumah-rumah ibadat.

“Kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap rakyat yang memerlukan, pemberian subsidi air percuma 20 meter padu ini bukan hanya diberikan melalui permohonan malah kakitangan Lembaga Air Perak (LAP) sentiasa membantu mengenal pasti mereka yang memerlukan,” katanya menjawab soalan tambahan Chua Yee Ling (PKR-Kuala Sepetang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri ke-13 di sini, hari ini.

Menjawab soalan lisan Chua mengenai permohonan membina tangki air tambahan di Kuala Sepetang, Zainol Fadzi berkata LAP tidak bercadang berbuat demikian berikutan Kolam Air Changkat Orang Putih yang membekalkan air di kawasan tersebut sudah dinaik taraf.

“LAP telahpun melaksanakan kerja menaik taraf loji ini yang mana kapasiti bekalan dari loji ini telah ditingkatkan daripada 15 juta liter sehari kepada 65 juta liter sehari.

“Secara amnya bekalan air di kawasan itu memuaskan dan mematuhi Petunjuk Prestasi Utama yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara daripada segi aliran dan tekanan air,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");