Berita Hari Ini

Agensi KKLW Senarai Aset Rosak Akibat Banjir

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mengarahkan semua agensinya di Pulau Pinang menyenaraikan aset dan insfrastuktur yang musnah atau rosak akibat banjir, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia bagi membolehkan pihaknya memperincikan peruntukan yang diperlukan bagi tujuan baik pulih kerosakan terbabit.

Beliau berkata, kos baik pulih meliputi jalan, surau, taman bimbingan kanak-kanak (Tabika), dewan dan apa juga infrastruktur di bawah kendalian kementerian yang rosak akibat bencana alam berkenaan.

“Kita berharap ia disegerakan supaya bantuan dapat disalur secepat mungkin demi keselesaan rakyat di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja sempena Penyelarasan Bantuan Bencana Pasca Banjir di Permatang Rawa, Permatang Pauh, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri meluangkan masa melawat Tabika KEMAS Kampung Padang, Kepala Batas dan Tabika KEMAS Lahar Yooi, Tasek Gelugor.

Beliau kemudian ke Tabika KEMAS Taman Abidin, Jelutong dekat Georgetown.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, seramai 1,645 Sukarelawan Prihatin KKLW melaksanakan kerja membaiki dan mengecat 41 Tabika KEMAS di seluruh negeri itu yang rosak akibat ditenggelami banjir.

“Kita bersyukur Tabika di bawah kendalian KKLW tidak terjejas teruk dan hanya mengalami kerosakan dari segi perabot sahaja.

“Selain Tabika, sukarelawan kita juga akan membantu membersihkan dan mengecat premis di bawah KKLW dan ada yang akan membaiki peralatan elektrik, selain kenderaan seperti motosikal,” katanya.

Beliau berkata, sukarelawan yang terbabit dalam misi pascabanjir itu terdiri daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA); Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA); Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA); Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Dalam lawatan itu, KKLW turut menyumbang 1,450 pek bantuan barangan keperluan mengandungi makanan kering dan selimut tebal bernilai RM100 kepada mangsa banjir di empat kawasan yang dilawati Ismail Sabri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");