IPOH: Setiap jentera GERAKAN harus berani tampil kehadapan dan berjuang dalam menyelongkar setiap kelemahan dan kepincangan parti lawan khususnya DAP.
Pengerusi GERAKAN Perak, Soo Kay Ping berkata rakyat kini sudah tahu menilai dan melihat sendiri ketempangan kepimpinan DAP seperti di pentadbiran Pulau Pinang yang terpalit dengan beberapa isu.
“Kita tahu DAP kini semakin lemah ditambah dengan kes skandal rasuah, dan kepimpinan nepotism dalam parti yang tidak sudah.
“Dan kalau kelemahan-kelemahan mereka ini kita ceritakan kepada rakyat, mereka akan terus memaki hamun dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada kita dan juga ahli keluarga kita.
“Jangan takut dengan semua itu kerana kita berada di pihak yang benar,” katanya.
Menurutnya lagi DAP juga akan tetap melakukan berbagai cara bagi mengekalkan pemerintahan mereka di Pulau Mutiara itu.
“Seperti di zaman Dinasti Cina, sesiapa yang tidak sependapat dengan maharajanya, dia akan dihukum.
“Begitu juga DAP, kalau kita mendedahkan setiap skandal mereka kepada khalayak, mereka akan melakukan berbagai cara untuk menentang kita termasuk ada ahli-ahli kita diheret ke mahkamah, demi mahu menutup mulut kita,” ujarnya.
Tambah Kay Ping, kebanyakan masyarakat Cina khususnya di Pulau Pinang, terdiri daripada golongan ‘silent majority’ ataupun majoriti senyap di mana kebanyakkan mereka tidak menujukkan kepada khalayak terhadap kecenderongan sokongan mereka sebaliknya, ianya hanya akan diterjemah melalui kertas undi.
“Kita yakin, dengan gerak kerja yang kita ada, Pulau Pinang bakal kembali kepada GERAKAN di mana, ianya juga merupakan misi utama kita,” katanya, ketika dihubungi Perak Today, hari ini.
Pada masa sama, mengulas tentang fenomena banjir yang dikatakan paling teruk dalam sejarah Pulau Pinang, beliau berkata kegagalan kerajaan DAP dalam mengimbangi antara pembangunan dan kestabilan alam sekitar menjadi punca mengapa ianya terjadi.
“Sebagaimana diketahui, pokok-pokok dan bukit merupakan elemen penting dalam alam sekitar.
“Dan kita lihat, kerajaan DAP terus menerus menarah anak-anak bukit, dan cerun-cerun di Pulau Pinang, atas nama pembangunan tanpa memikirkan kesan dan akibat (yang bakal ditanggung rakyat),” ujarnya.