Perak Hari Ini

Bajet Mesra Rakyat: PAS Mula Akui Keberhasilan Pendekatan Kerajaan Negeri

IPOH:Pas Perak dilihat mulai mengakui keberhasilan pendekatan yang digunakan pihak Kerajaan Negeri apabila menyifatkan bajet dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai ‘Bajet Mesra Rakyat’ dan ‘Mesra Pilihanraya Umum (PRU).

Mengulas kenyataan itu, jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed berkata parti itu mula mengakui pendekatan turun padang yang digunakan Barisan Nasional.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed

Bagaimanapun jelas beliau, disebabkan sikap pembangkang yang ego maka mereka terus membantah membuta tuli terhadap apa yang dikemukan kerajaan negeri selama ini.

“Atas sikap bangkang itu apa juga dibuat kerajaan negeri semuanya tidak betul tapi pada kali ini bajet yang dibentangkan Menteri Besar adalah apa yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

“Namun 42 inisiatif kebanyakkan program adalah mendekati rakyat bukan sahaja retorik apa yang kita buat tetapi melihat impaknya dan hasilnya,” katanya.

Berikutan hasil itu katanya, pembangkang dilihat turut terkesan dengan apa yang dilakukan oleh Kerajaan Perak malah secara langsung mengakui impak menerusi program permukiman yang menitikberatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat

“Kita banyak berjumpa dengan rakyat malah banyak masalah dapat diselesaikan, dan ia salah satu cara menyelesaikan masalah birokrasi apabila peringkat atasan dapat berjumpa dengan rakyat dan masalah dapat atasi jadi mereka lihat hasil itu sebenarnya,” katanya.

ADUN Pengkalan Hulu,Datuk Aznel Ibrahim

Sementara itu, ADUN Pengkalan Hulu,Datuk Aznel Ibrahim menyangkal dakwaan pembangkang bahawa pembentangan Bajet 2018 sebagai ‘Mesra PRU’ dan menyifatkan ia sebagai satu dakwaan tidak tepat.

“Apabila kerajaan negeri membentangkan bajet ia melibatkan semua aspek dan peringkat umur namun pembangkang sekadar ingin meraih simpati rakyat dengan mendakwa ia Bajet Mesra PRU tetapi setiap tahun pembentangan bajet bukannya untuk meraih sokongan tetapi untuk keperluan rakyat,” katanya.

Katanya kerajaan negeri sentiasa mengamalkan pendekatan turun padang mendekati rakyat termasuk agihan pelbagai bantuan yang terus kepada rakyat dan sama sekali bukannya kerana PRU.

Terdahulu PAS Perak menyifatkan Bajet Negeri Perak 2018 yang telah dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semalam adalah bajet mesra rakyat dan mesra Pilihan raya (PRU).

Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Radzi Zainon berkata, ini kerana rakyat negeri ini mendapat pelbagai faedah daripada bajet berjumlah RM1.17 bilion yang dibentangkan.

Kata Radzi, intipati Bajet 2018 itu juga dilihat menyentuh dan terus kepada rakyat diperingkat akar umbi.

“Kita menganggap Bajet 2018 negeri Perak sebagai mesra rakyat dan mesra PRU kerana banyak pemberian diberikan kepada rakyat sebagaimana kerajaan Persekutuan terus kepada rakyat.

“Perak juga dilihat menambah beberapa peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan seperti untuk golongan imam dan bilal serta guru agama.Kita tidak kata sokong secara keseluruhan Bajet 2018 namun ini bajet yang mesra rakyat dan mesra PRU,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Bagaimanapun PAS mengakui peruntukan pembahagian perbelanjaan mengurus sebanyak RM755,597,393 dan perbelanjaan pembangunan sebanyakan RM421,280,000 peningkatan hampir 40 peratus pada perbelanjaan mengurus disifatkan tidak seimbang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");