Isu Panas

Bajet Selangor 2018 Perlu Cermin Inisiatif Sendiri – BN

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor mahu Bajet Selangor 2018 yang akan dibentangkan petang esok benar-benar mencerminkan inisiatif Kerajaan Negeri menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan, berkata ia berikutan sejak sekian lama semua sumbangan negeri itu kepada pembangunan ekonomi negara adalah hasil usaha Kerajaan Persekutuan yang melimpah ke Selangor.

“Kita tidak mahu mereka menjerit-jerit bahawa mereka menyumbang 21 peratus kepada perkembangan ekonomi negara serta ada sumbangan kepada pendapatan negara tetapi sebenarnya semua yang menyumbang kepada perkembangan itu adalah hasil Kerajaan Persekutuan.

“Serupa yang mereka kata bawa masuk (pelaburan) IKEA itu. Dia cuma menyediakan tempat sedangkan usaha itu dijalankan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mat Nadzari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, berkata sejak mentadbir Selangor hingga kini, rizab negeri juga hanya pada tahap RM1 bilion hingga RM1.5 bilion sedangkan ketika Selangor dirampas dari BN, semua kemudahan sebagai negeri maju sudah disediakan.

Katanya, ketika pentadbiran Selangor bertukar tangan, negeri itu bukan saja bertaraf negeri maju sejak 2005, semua asas pembanguan di negeri itu juga mantap dan utuh selain pertumbuhan keluaran dalam negara (GDP) adalah tinggi.

“Kalau kita lihat sejak 2008 hingga kini rizab adalah statik dan tidak berkembang sedangkan rizab negeri lain melonjak. Sarawak sudah mempunyai rizab berbelas bilion ringgit sejak itu.

“Malah, pendapatan negeri juga antara RM2 bilion hingga RM3 bilion saja. Jadi mana inisiatif mereka dalam membantu kemakmuran dan kesejahteraan?

“Jika bajet kali ini tidak menjurus kepada mengembangkan ekonomi, saya anggap bajet mereka adalah ‘bajet lolipop’ memanis-maniskan keadaan dan menggula-gulakan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Mat Ndzari berkata, BN Selangor sudah mengemukakan lima usul yang bakal dibentangkan pada Sidang DUN yang akan bermula esok.

Beliau berkata, kelima-lima usul itu antara lain membawa usul untuk menggesa Kerajaan Selangor mengambil langkah segera dan menyahut seruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) selain mengukuhkan institusi Mahkamah Syariah serta mengembalikan semula peranan asal penubuhan Yayasan Selangor.

Selain itu katanya, BN juga akan membawa usul menggesa Kerajaan Selangor dengan kuasa yang dimiliki, membatalkan serta-merta pemegang lesen yang terbukti menyalahgunakan lesen pusat hiburan keluarga serta memperketat dan menghadkan permohonan baharu.

“Kami juga akan membawa usul mengutuk tindakan Kerajaan Selangor meluluskan program Oktoberfest yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan sensitiviti agama serta mengundang ancaman extremisme.

“Kami tidak mahu Speaker menolak mentah-mentah usul ini kerana BN Selangor beranggapan usul ini penting untuk dibahaskan demi kemaslahatan rakyat Selangor.

“Speaker kena adil dan usul yang kita bawa ini mempunyai kepentingan rakyat.

“Ini sesuai dengan apa yang mereka perjuangkan sebagai satu parti yang peduli rakyat kerana semua usul ini adalah usul yang peduli rakyat. Kalau dia berterusan menolak dan tidak menerima usul yang memperjuangkan hak atau menyentuh kemashlahatan, tidak adil kepada rakyat Selangor secara keseluruhan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");