Berita Hari Ini

Banjir P.Pinang: 6,000 Anggota Polis Bantu Bersihkan Kawasan Terjejas

BUTTERWORTH: Kira-kira 6,000 anggota polis kontinjen Pulau Pinang akan membantu membersihkan kawasan dilanda banjir termasuk rumah mangsa, masjid serta rumah ibadat di negeri ini, kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik.

Beliau berkata langkah itu bagi membantu meringankan beban mangsa banjir selain membolehkan mereka dapat pulang cepat ke rumah apabila banjir surut nanti.

Katanya polis turut menjalankan pemantauan dan rondaan 24 jam di kawasan terjejas banjir bagi memastikan tidak berlaku kejadian jenayah dan setakat ini tiada kes membabitkan jenayah terutama curi dan samun di rumah mangsa banjir dilaporkan.

“Anggota polis juga ditempatkan di kawasan jalan raya yang berlaku kesesakan dan ditutup kepada lalu lintas bagi memastikan kelancaran dan mengelak kejadian tidak diingini.

“Antara jalan yang masih ditutup sehingga pukul 8 malam ini (Ahad) ialah Jalan Seri Serdang-Taman Rupawan, Bertam Indah, simpang tiga Lahar Yooi-Padang Menora, Jalan Ara Kuda, Jalan Sungai Lokan-Sungai Dua, Jalan Permatang Pauh dan Taman Bagan manakala Jalan Tok Kangar di Juru ditutup kepada kenderaan ringan,” katanya katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa banjir di dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa 2 di Taman Bagan, di sini pada Ahad lapor Bernama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata semua laluan ke Bukit Bendera membabitkan kereta api dan laluan trek menggunakan kenderaan telah ditutup kerana berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Shaari Osman berkata proses pembersihan pusat peperiksaan telah dijalankan dengan bantuan pihak sekolah dan syarikat pembersihan hari ini bagi membolehkan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar.

Katanya sehingga pukul 9 malam semalam, semua berada dalam keadaan bersedia dan dua peperiksaan itu akan diteruskan seperti yang dijadualkan.

“Bagaimanapun, terdapat dua pusat peperiksaan yang akan dipindahkan kerana paras air banjir masih berada di tahap yang menyukarkan calon untuk hadir iaitu calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Mandin, Butterworth dekat sini akan mengambil peperiksaan di SMK Seberang Jaya manakala calon di SMK Jit Sin akan mengambil peperiksaan di Sekolah Menengah Jit Sin Persendirian.

“Sementara Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Keow Keong akan ditutup pada Isnin,” katanya.

Katanya seramai 2,232 calon STPM akan menduduki peperiksaan di 28 pusat membabitkan 2,004 calon sekolah kerajaan, calon swasta (210) dan 18 calon persendirian manakala bagi SPM seramai 23,114 calon akan menduduki peperiksaan di 159 sekolah manakala calon swasta sebanyak 250 orang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");