Jenayah

Bapa Enam Anak Didakwa Rogol Budak 12 Tahun

MELAKA: Seorang bapa enam anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan merogol kenalan adiknya tiga tahun lalu.

Tertuduh Malik Redzuan Mohamed, 32 tahun, yang berdepan hukuman penjara hingga 30 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati merogol kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia 12 tahun 8 bulan di sebuah rumah di Jalan Pekan Umbai Batu 8, Jasin, Melaka sekitar jam 1 hingga 4 petang pada Februari 2014 lalu, lapor Astro Awani.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan juga sebatan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Nora Yaacob mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 diberikan terhadap tertuduh.

Malik yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah yang minimum memandangkan dia hanya bekerja sebagai pemetik kelapa dan perlu menanggung enam anak serta isteri yang tidak bekerja.

Meor pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");