Berita Hari Ini

Bekas Lombong Air Biru Kawasan Larangan

IPOH: Kemunculan gambar keindahan lombong dengan airnya berwarna biru di Simpang Pulai, di sini mula menjadi tumpuan ramai apabila ia tular di media sosial sejak bulan lalu.

Keadaan itu menyebabkan bekas lombong kuari itu tidak putus-putus menerima kehadiran orang ramai yang ingin menyaksikan sendiri kecantikan kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, lokasi yang terletak dalam kawasan milik sebuah syarikat itu sebenarnya merupakan kawasan larangan untuk orang ramai.

Pengurus lombong, Chooi Yim Onn, 65, berkata, pihaknya bimbang akan keselamatan orang ramai selain tidak mahu bertanggungjawab sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini.

“Saya diberitahu kawasan lombong telah diceroboh masuk oleh orang ramai dan kini mula tular di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram dari Oktober hingga kini lapor portal tempatan.

“Berdasarkan gambar dan video yang ditunjuk, saya pasti ia adalah lombong milik syarikat ini. Saya sebagai pengurus lombong rasa bertanggungjawab sebarang aktiviti dalam kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, pihak syarikat telah memasang pagar bagi menghalang orang ramai memasuki ke kawasan lombong milik syarikat itu namun, tidak diendahkan.

“Orang ramai masih berdegil memasuki kawasan itu sedangkan kita mempunyai pengawal keselamatan untuk menegah perbuatan itu. Walaupun pintu pagar telah dikunci, mereka tetap juga memasuki kawasan ini.

“Justeru itu, saya membuat satu laporan polis di Balai Polis Simpang Pulai semalam supaya apa-apa yang berlaku ketika menceroboh kawasan ini, ia bukan di bawah tanggungjawab saya dan pihak syarikat,” katanya.

Yim Onn berkata, pihaknya memantau kawasan itu dan mendapati masih ada orang awam yang berdegil memasuki kawasan itu dan ada antaranya bermain dengan menggunakan bot getah.

“Memang dari awal lagi warna air di lombong ini berwarna biru dan tidak pernah bertukar. Bagaimanapun, ia amat berbahaya kerana airnya yang dalam. Kita akan memasang papan tanda sebagai amaran kepada orang ramai untuk tidak mencerobohi kawasan ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");