Berita Hari Ini

Bilal Buka Surau Sebab Mereka Dalam Bahaya

SHAH ALAM: Bilal Surau Taman Free School George Town, Pulau Pinang, menganggap tiada yang lebih penting selain menyelamatkan nyawa manusia ketika dalam keadaan bahaya.

Sapno Tukijo, 50, menjadi tumpuan ketika banjir melanda Pulau Pinang, baru-baru ini, apabila dia membenarkan sekumpulan 50 mangsa banjir bukan Islam berteduh di surau berkenaan.

“Ketika kejadian, saya nampak ada beberapa mangsa banjir dari Lengkuk P Ramlee sedang menyeberang jalan. Pada masa tu, paras air makin naik.

“Saya mempelawa mereka berteduh di dalam surau buat sementara waktu. Mereka pada mulanya segan kerana menghormati surau, tetapi akibat arus air terlalu deras, saya tetap mendesak mereka masuk ke dalam surau kerana nyawa mesti diutamakan,” kata Sapno ketika ditemu bual oleh China Press, menerusi laporan Sinar Online.

Menurutnya, sekiranya dia tidak bertindak demikian, mungkin ada mangsa yang akan dibawa arus atau mati kesejukan.

Sapno sendiri menetap di Lengkuk P Ramlee dan dia juga membawa isteri serta anaknya berlindung di surau tersebut.

Sapno menjelaskan demikian sebagai menjawab kritikan beberapa pihak yang mempersoalkan tindakannya membenarkan mangsa banjir bukan Islam, antaranya berbaring, berseluar pendek atau tidak berbaju berlindung di surau berkenaan.

Sementara itu, Sapno turut melahirkan rasa bangga apabila tindakan membenarkan mangsa banjir berteduh di surau itu menerima kepujian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun tindakan itu telah menjadi bualan hangat di media sosial, namun menurut Sapno, hubungannya dengan penduduk sekitar masih seperti sedia kala kerana mereka memang mengenalinya sejak dulu lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");