Berita Hari Ini

Budaya Mengecam Di Media Sosial Jadi ‘Toksik’

KUALA LUMPUR: Budaya mengecam di media sosial diibaratkan sebagai ‘toksik dalam talian’ yang sarat dengan mesej kebencian sehingga boleh menjatuhkan seseorang, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, budaya itu kini menjadi suatu fenomena yang muncul seperti ‘tsunami’ sehingga sukar bagi pihak yang menjadi mangsa kecaman untuk menepis kecaman yang tular di media sosial.

Katanya, budaya itu merupakan satu daripada lima cabaran yang melanda generasi muda ketika ini, dan diumpamakan sebagai bom jangka yang akan meletus pada bila-bila masa sahaja sekiranya tiada sebarang tindakan diambil pihak bertanggungjawab, terutama ibu bapa.

“Sudah tiba masanya kita wujudkan ‘ruang selamat dalam talian’ kerana sekarang ini terlalu banyak mesej negatif di media sosial. Kita sudah tidak memikirkan perasaan orang lain.

“Saya tiada masalah sekiranya dikecam di media sosial tapi bagaimana dengan orang lain? Adakah mereka tahu bagaimana mengatasinya?” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Penyelidikan Belia Kebangsaan 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini, menerusi laporan Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Khairy berkata isu penyakit sosial, gaya hidup sedentari (bermalas-malasan), ketagihan skrin dan penyakit mental turut menjadi cabaran kepada generasi muda di negara ini.

“Kita sekarang sedang menjalankan kaji selidik dibarisi sekumpulan pakar dalam bidang psikologi, neurologi, perubatan dan komunikasi bagi mencari kaedah terbaik menangani perkara ini. Seminar hari ini merupakan salah satu daripada gerak kerja kaji selidik tersebut,” katanya.

Terdahulu ketika menyampaikan ucapan perasmian, Khairy dalam nada tegas menekankan betapa seriusnya masalah kesihatan mental dengan menarik perhatian peserta bahawa satu daripada lima pelajar sekolah rendah dan menengah di negara ini mempunyai masalah itu ketika ini berbanding satu daripada 10 pada 2011.

“Statistik meningkat disebabkan terdapat kesedaran dalam kalangan masyarakat apabila mereka mendapati diri mereka mempunyai simptom penyakit mental,” katanya.

Justeru, Khairy mengulangi gesaan agar Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) menjalinkan kerjasama proaktif dengan Insititut Penyelidikan SosioEkonomi (SERI) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 baru-baru ini terutamanya dalam kajian sosial untuk generasi muda.

Beliau kemudian mengakhiri ucapan dengan satu pesanan iaitu,:”Banyakkan teguran dan hukuman kepada generasi muda seperti mana kita (generasi terdahulu) ditegur dahulu”.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");