Isu Panas

Cadang Tiada Pertandingan Jawatan Nombor 1, 2 UMNO

DUA jawatan tertinggi dalam UMNO, Presiden dan Timbalan Presiden dicadangkan untuk tidak dipertandingkan pada pemilihan kepimpinan parti tersebut tahun hadapan.

Perkara tersebut diusulkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang seterusnya berkata, menerusi cara itu fokus untuk mengukuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) boleh dipertingkatkan.

Ini terutama dalam kalangan bukan Melayu selain dapat mengelakkan sesetengah pihak untuk cuba melaga-lagakan dua pemimpin tertinggi parti terbesar umat Melayu Islam di dunia itu.

Hishamuddin berkata, kebimbangan terbesarnya ialah BN akan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tanpa sokongan pengundi bukan Melayu.

“Perkara paling penting untuk kita ialah jentera dan kepimpinan UMNO di semua peringkat memfokuskan kepada PRU ke-14 yang bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja.

“Jika ia bermakna dua jawatan tertinggi kekal untuk tidak dipertandingkan kerana usul dikemukakan di peringkat bahagian, maka saya secara terbuka akan tampil menyokongnya.

“Ia (juga) menghalang orang daripada cuba melaga-lagakan Zahid dengan saya, Zahid dan perdana menteri atau saya terhadap perdana menteri,” katanya dipetik portal mStar.

Ogos lalu, UMNO bahagian Masjid Tanah meluluskan usul mencadangkan Presidennya, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal memegang dua jawatan tertinggi itu.

Ahmad Zahid dilantik Majlis Tertinggi UMNO untuk menjalankan tugas timbalan presiden selepas parti itu menggantung sebelum memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Februari 2016.

Bagaimanapun, menteri pertahanan itu berkata, cadangan berkenaan tidak akan dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO sebagai usul.

“Saya sudah jelaskan kepada speaker yang kita tidak akan menyentuh pemilihan UMNO akan datang kerana sekarang terlalu dekat dengan PRU.”

Hishammuddin berkata, ia penting untuk BN mendapat sokongan semua kaum dan menggesa pengundi mempertimbangkannya.

“Jika kita memenangi PRU akan datang, saya mahu mempunyai undi bukan Melayu yang munasabah kerana kita semua pemegang amanah di Malaysia.

“Kebimbangan terbesar saya bukan Barisan kalah dalam pilihan raya umum, tetapi menang tanpa sokongan bukan Melayu,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");