Membawang Hari Ini

‘Cium Pipi Itu Aksi Normal Suami Isteri’

KUALA LUMPUR: Mia Ahmad tidak menyesal memuat naik rakaman video yang menunjukkan dirinya mencium pipi suami, Izham Tarmizi yang juga penjaga gol pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), sebaik skuad handalan itu diumumkan menjuarai Piala Malaysia 2017, Sabtu lalu.

Biarpun teruk dikecam netizen, Mia atau nama sebenarnya, Samihah Ahmad Baderi, 29, menganggap aksi spontan itu normal bagi pasangan berkahwin terutama ketika meraikan kejayaan insan tersayang.

“Saya tidak menyesal sebab tak buat salah. Kalau nak difikir mengenai komen negatif, hanya berapa peratus yang meninggalkan komen begitu.

“Mereka yang memberi komen negatif mungkin ada masalah hati atau mindanya tertutup.

“Benda ini (aksi ciuman di pipi) bukanlah masalah, tapi dijadikan masalah. Saya nampak perkara seperti ini akan terjadi kalau seorang tampil meninggalkan komen negatif, kemudian yang lain mengikut,” katanya kepada BH Online.

Sehari selepas JDT menjuarai Piala Malaysia 2017 menewaskan Kedah di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu, pelakon ini memuat naik rakaman video di akaun Instagram yang antara lain memaparkan dirinya mencium pipi Izham sebaik keputusan diumumkan.

Perkongsian itu pantas menarik perhatian netizen termasuk mereka yang menganggap aksinya itu keterlaluan.

Mia menambah, baginya, isu rakaman video itu tidak perlu diperbesarkan.

“Ada yang mengatakan saya tak perlu mencium pipi suami di khalayak ramai. Niat saya bukanlah mahu menunjuk, tapi ia terjadi secara spontan.

“Bagi saya, ia adalah perkara normal antara suami dan isteri,” katanya.

Dihujani pelbagai komen, pelakon drama Hati Perempuan itu enggan melenting. Malah, katanya, Izham juga tidak mengambil pusing mengenai perkara itu.

“Tak muat naik gambar pun orang mengata. Bukan itu saja, kalau letak ayat-ayat atau pepatah pun orang cakap saya bergaduh dengan suami. Buat apa sekalipun, ada pihak yang kreatif memberi komen, tak mengapalah.

“Kalau mahu diikutkan, saya memang berpada-pada dalam memuat naik sesuatu status di laman sosial. Namun, saya tak boleh nak salahkan mereka (netizen) sebab mereka tak hidup dalam dunia saya.

“Jadi saya tak boleh nak berharap orang nak berfikir ikut cara saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mia akan tampil dengan filem Jibam yang mula ditayangkan pada 7 Disember depan. Filem yang dilakonkan bersama adik Muhammad Arif Abdullah, Fadlan Hazim dan Syafie Naswip itu diadaptasi daripada karya kartunis terkenal, Ujang.

Mia juga baru tamat dengan penggambaran drama terbitan RTM, Sara Kirana dan drama TV3, Bilo Nogori Jupo Kelate.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");