Berita Hari Ini

Cuti Bomba Dibeku, Bilik Gerakan Banjir Diaktifkan

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah bersedia sepenuhnya dalam menghadapi cabaran risiko banjir musim tengkujuh yang kini sedang melanda beberapa negeri di Malaysia.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata semua JBPM negeri diarah mengaktifkan bilik gerakan banjir dan memastikan setiap anggota dan aset berada dalam tahap optimum.

Malah, katanya JBPM juga telah membekukan cuti semua anggota bomba yang bertugas di negeri yang terjejas akibat banjir selain akan mengerahkan bantuan dari negeri berdekatan untuk membantu jika wujud keperluan.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah mengeluarkan Surat Arahan Jabatan pada 1 November 2017 kepada semua Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri seluruh negara untuk membuat persediaan dalam menghadapi bencana banjir.

“Semua JBPM Negeri diminta untuk mengaktifkan bilik gerakan banjir di Pusat Gerakan Operasi sedia ada, dan perlu mengemaskini maklumat banjir dua kali setiap hari di kawasan yang terjejas.

“JBPM Negeri juga diminta untuk memastikan semua peralatan dan kenderaan menyelamat berada di dalam keadaan baik dan boleh digunakan dan juga mengenalpasti kawasan berisiko banjir, tanah runtuh dan lokasi kedudukan pusat penempatan mangsa banjir,” katanya di Dewan Rakyat hari ini lapor Astro awani.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan dikemukakan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) yang meminta KPKT menyatakan sejauh manakah tahap kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam menghadapi cabaran risiko banjir musim tengkujuh yang kini sedang melanda beberapa negeri di Malaysia dan apakah tindakan serta usaha menyelamat yang telah dilaksanakan sejurus selepas banjir melanda negeri-negeri tersebut beberapa hari lalu.

Tambahnya, seramai 27,260 anggota bomba, Pasukan Bomba Bantuan dan Pasukan Bomba Sukarela diseluruh negara telah bersiap sedia untuk operasi menyelamat sekiranya berlaku banjir.

Malah, JBPM juga telah bersedia dengan aset yang sedia ada yang merangkumi kenderaan marin, kenderaan darat dan juga pesawat udara yang boleh digerakkan pada bila-bila masa.

Pasukan Penyelamatan Di Air ataupun Unit SCUBA juga telah bersedia dengan kekuatan anggota seramai 554 orang diseluruh negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");