Jenayah

Dua Kontraktor Bebas Tuduhan Rasuah

ALOR SETAR: Dua kontraktor dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini terhadap tiga tuduhan menerima dan bersubahat melakukan rasuah membabitkan keseluruhan bernilai RM135,000 berkaitan kuota beras ST15 pada 2014.

Hakim Zanol Rashid Hussain membuat keputusan itu terhadap tertuduh Nor Azamuddin Ahmad, 48, dan Farid Idris Khan, 37, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Zanol Rashid berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti semua keterangan yang dikemukakan pihak pendakwaan dan pihak pembelaan.

“Pihak pembelaan juga berjaya mematahkan elemen ‘anggapan’ di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Oleh itu, kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan terhadap kesemua pertuduhan ini,” katanya lapor Bernama.

Mengikut pertuduhan pertama, Nor Azamuddin didakwa secara rasuah menerima satu suapan wang tunai bernilai RM45,000 daripada seorang lelaki bergelar Datuk yang merupakan pemilik syarikat DCT Bakery Sdn Bhd pada 4 Mei 2014, pukul 10 malam di alamat No 69, Persiaran KTC 4/3, Kulim Techno City Golf View, Kulim Hi Tech Park di Kulim.

Tindakan itu sebagai dorongan terhadap tertuduh bagi mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 tan metrik untuk perniagaan MNS Utara Enterprise dan perniagaan MFM Utara Enterprise bagi Mei 2014 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pertuduhan kedua pula, Nor Azamuddin didakwa secara rasuah menerima satu suapan wang tunai berjumlah RM45,000 daripada lelaki yang sama sebagai dorongan mendapatkan kuota beras itu sebanyak 100 tan metrik bagi bulan Jun, pada 6 Jun 2014, pada masa dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh juga didakwa menerima secara rasuah wang tunai berjumlah RM45,000 daripada lelaki yang sama sebagai upah mendapatkan kuota beras sebanyak 100 tan metrik bagi bulan Julai, pada 2 Julai 2014, pada masa dan tempat yang sama.

Sementara itu, tertuduh kedua, Farid didakwa atas tiga pertuduhan sama kerana bersubahat dengan Nor Azamuddin menerima kesemua suapan berkenaan.

Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A.Hafiizh Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ang Chun Pun.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");