SHAH ALAM: Hanya 1,356 daripada 2,514 perwakilan yang layak mengundi, hadir bagi pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Kehadiran hanya 53.94 peratus itu jauh merosot berbanding 1,725 perwakilan yang mengundi bagi pemilihan semula CEC parti itu pada 2013.
Seramai 62 calon bertanding untuk pemilihan semula 20 ahli CEC pada kali ini, selepas lima daripada 68 calon dalam senarai awal keluar parti manakala bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh meninggal dunia pada 2014.
Pada 17 April 2013, Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengeluarkan notis arahan melarang DAP daripada membuat sebarang keputusan, susulan pemilihan CEC parti itu pada 15 Disember 2012, yang didakwa wujud penyelewengan apabila berlaku kesilapan pengiraan undi, selain gagal memberi notis kepada 753 perwakilan sah dan layak mengundi.
Berikutan itu, keputusan pemilihan semula yang diadakan 2013 tidak dapat diterima berikutan DAP menggunakan senarai perwakilan 2012 yang dipertikaikan banyak pihak.
Keputusan pemilihan CEC dijangka akan diperoleh pada jam 6 petang ini.