Sukan Hari Ini

Harap Keputusan Nidzam Tidak Dipengaruhi Sesiapa: KEFA

KETUA Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof seharusnya tidak menarik ‘handbreak’ terlalu awal apabila mahu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mencari ketua jurulatih baharu untuk pasukan itu pada musim 2018.

Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Kedah (KEFA), Mohd Faridzul Kassim berkata, pihaknya secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan Mohd Nidzam dan seharusnya terus berani mengalas tugas berdepan saingan lebih sengit pada masa hadapan.

Menurutnya, beliau turut berharap agar tidak ada campur tangan di dalam keputusan pengendali itu yang mahu kembali ke posisi Penolong Ketua Jurulatih Lang Merah bagi musim 2018.

“Tiada siapa tahu apa yang sebenarnya terbuku di hati Nidzam buat masa sekarang, hanya dirinya sendiri yang tahu apa punca yang menjadi faktor beliau mahu kembali ke posisi asalnya.

Jika beliau kata masih perlu belajar, sebenarnya inilah platform di mana secara tidak langsung dapat meraih pengalaman sebagai ketua jurulatih yang kini berjaya membawa pulang Piala FA selain muncul naib Juara Piala Malaysia pada musim ini,” katanya lapor Sinar Harian.

Mohd Faridzul akui Mohd Nidzam menanggung tekanan dan harapan yang juga tinggi bukan sahaja daripada pengurusan malah seluruh penyokong pasukan tersebut.

Jelasnya, sepatutnya bekas pemain Kedah itu lebih kuat untuk terus melawan cabaran dan mengambil tekanan tersebut sebagai motivasi untuk lebih berjaya.

“Berkenaan penganti Nidzam nanti tidaklah penting sangat sama ada perlu memburu jurulatih import ataupun tempatan pada musim depan.

KFA perlu bijak serta celik akal dan hati di dalam menilai semua perkara-perkara ini,” katanya.

Semalam akhbar melaporkan, Nidzam berkata, biarpun kontraknya tamat musim hadapan namun beliau hanya ditugaskan untuk mengendalikan pasukan berkenaan sehingga tamat kempen Piala Malaysia musim ini.

Menurutnya, beliau mahu KFA mendapatkan ketua jurulatih yang mempunyai standard lebih tinggi berbanding pengendali sebelum ini, Tan Cheng Hoe.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");