Jenayah

Ibu Tunggal Dijel 10 Bulan, Denda Kerana Mencuri

KUALA TERENGGANU: Seorang ibu tunggal terpaksa meringkuk dipenjara selama 10 bulan dan dikenakan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, hari ini, kerana mencuri barangan dan perabot rumah yang disewa di Taman Semarak Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

Memetik laporan Sinar Harian, Aizam Abd Aziz, 44, dari Kuala Terengganu turut diperintahkan supaya dipenjarakan lima bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat selepas ibu kepada seorang anak itu mengaku salah menggunakan lima unit penyaman udara, dua katil dan tilam, seunit mesin basuh, seunit peti sejuk,satu set meja makan, satu unit kabinet televisyen, sebuah televisyen 29 inci.

Selain itu, sebuah sofa L-Shape, dua set meja tepi, satu set seterika dan papan penggosok, seunit tong gas, 13 unit bantal dan pelbagai jenis peralatan dapur milik Sharifah Salwa Syed Shafie, 43, untuk kegunaan sendiri tanpa kebenaran.

Dia mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu pada 30 September lalu, lebih kurang jam 11 pagi, di rumah yang disewanya di Taman Semarak Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Sebelum ini, akhbar ada menyiarkan seorang pemilik butik terpaksa menanggung kerugian hampir RM30,000 apabila pelbagai barangan elektrik di rumahnya di Taman Semarak, Bukit Tunggal, Kuala Nerus, dilarikan penyewanya.

Susulan itu, seorang janda anak satu bersama seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai teman lelakinya ditahan dan siasatan mendapati wanita terbabit merupakan antara individu dikehendaki disyaki terbabit dalam jenayah curi dalam bangunan dan menipu membabitkan beberapa kontinjen negeri lain.

Modus operandi digunakan wanita itu dengan menyewa rumah yang lengkap dengan perabot daripada mangsa selama beberapa bulan sebelum menghilangkan diri bersama kelengkapan rumah berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");